Kelab kampung dapat sentuhan DNA Sepanyol

Oscar (berdiri kanan) menerapkan DNA Sepanyol kepada pelatih cilik Kerteh FC baru-baru ini.
Oscar (berdiri kanan) menerapkan DNA Sepanyol kepada pelatih cilik Kerteh FC baru-baru ini.
A
A
A

KELAB bola sepak komuniti, Kerteh FC yang berpangkalan di pekan Kerteh, Terengganu mengorak langkah apabila mendapatkan sentuhan DNA sebuah akademi bola sepak yang berpangkalan di Barcelona, Sepanyol iaitu RieraSport.

Ia terhasil menerusi kerjasama dengan pemilik RieraSport, Oscar Riera yang dilantik sebagai Penasihat Teknikal Kerteh FC.

Menurut Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim, Oscar kini berada di Kerteh untuk berkongsi ilmu dan kepakarannya dengan jurulatih serta pelatih kelab tersebut.

"Kerteh FC telah bekerjasama dengan Oscar sejak 1 Mei 2020. Sebagai Penasihat Teknikal, Oscar bertanggungjawab untuk membentuk DNA Kerteh FC dengan menyediakan metodologi latihan kepada pemain dan jurulatih kelab Kerteh FC.

"Sepanjang pandemik Covid-19 melanda dunia, Kerteh FC dan Oscar bekerja secara komunikasi dalam talian bagi pertukaran idea dan maklumat.

"Bagaimanapun pada tahun ini, Oscar berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Kerteh dan bertemu dengan pelajar, pemain dan ibu bapa secara bersemuka seterusnya memberi taklimat hala tuju pemain pada masa depan", katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Razeman memberitahu, Kerteh FC merasa amat bertuah kerana mendapat sentuhan Oscar yang juga anak kepada bekas kapten pasukan kebangsaan Sepanyol dan Kelab RCD Espanyol era 1960-an iaitu Julian Riera.

Oscar merupakan bekas Pengurus Jabatan Pencari Bakat Antarabangsa Kelab RCD Espanyol serta pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di 26 buah akademi bola sepak dengan jumlah pelatih lebih 8,000 orang di seluruh dunia termasuk di Eropah, Afrika, United Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Selatan.

Selain itu, Oscar juga pernah menjawat jawatan selaku Pengarah Rangkaian Sekolah Bola Sepak Kelab RCD Espanyol di Catalunya bagi Projek XEF selama lapan tahun.

Beliau kemudian dilantik sebagai Pengurus Sukan Antarabangsa di Kelab RCD Espanyol selama tujuh tahun.

Sepanjang 10 hari berada di Kerteh, jadual Oscar padat dengan sesi latihan di dalam kelas dan di atas padang bersama jurulatih serta pemain.

Malah beliau juga mengambil peluang melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerteh untuk bertemu dengan pemain Kelab Bola Sepak sekolah tersebut.

Tambah beliau, SMK Kerteh adalah sekolah di bawah 'Affiliate Program' Kerteh FC di mana sekolah tersebut menerima faedah daripada segi kejurulatihan, barangan dan peralatan serta tempat latihan yang disediakan oleh pihak kelab.

Dalam pada itu, Oscar dalam reaksinya selepas turun padang bersama pelatih Kerteh FC berpendapat, kualiti pelatih kelab itu boleh dibanggakan khususnya daripada segi corak permainan dua sentuhan bola yang diterapkan.

"Secara umumnya saya melihat pelatih mampu menyerap teknik permainan berasaskan DNA yang saya bawa untuk mereka dalam tempoh masa yang singkat.

"Begitu juga dengan barisan kejurulatihan setiap peringkat umur kelab ini yang saya dapati cukup berkualiti dan memahami metodologi bola sepak yang saya terapkan di sini," ujarnya.

Tambah Oscar, beliau juga tertarik dengan corak permainan tiga pelatih Kerteh FC yang disifatkannya berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Pemain yang dimaksudkan ialah Muhammad Hafiq Aiman Mohd Zaid, Muhammad Haziq Zahid dan Muhammad Fariz Juprizal.

Beliau merancang untuk membawa ketiga-tiga pelatih tersebut bermain di dalam sistem bola sepak remaja di Sepanyol, jika ada mana-mana pihak di negara ini yang sudi menaja kos mereka di sana.

Ini kerana ketiga-tiga pemain tersebut dilihat mempunyai berpotensi yang besar pada masa akan datang.

Kerteh FC ditubuhkan secara rasmi dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sejak September 2018 di bawah pemilikan dan pengurusan syarikat KAL Services Sdn Bhd.

Sebagai rekod, Kerteh FC sebelum ini menjadi Juara Liga Perdana dan Juara Piala Liga Amatur Terengganu (TAL) 2019.

Dengan status pasukan Liga M5, Kerteh FC turut memiliki skuad akar umbi daripada pelbagai peringkat umur bermula dari bawah enam tahun (B-6).

Kerteh FC bakal menyertai saingan Liga Bolasepak Terengganu Bawah B-12, B-17 tahun dan pasukan utama yang dijangka bermula pada Julai 2023.

Pasukan B-8, B-10, B-12, B-14 dan B-16 pula akan menyertai Liga Suparimau 2023 yang akan bermula Jun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!