Polis tahan dua lelaki asing edar dadah
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata kedua-dua suspek ditahan di lokasi berasingan antara jam 12.15 tengah hari hingga 5 petang.
“Suspek pertama seorang warga Indonesia berumur 35 tahun, ditahan di Kampung Silam dan dipercayai penagih serta pengedar dadah kecil-kecilan sejak dua bulan lalu.
“Ketika ditahan, suspek memiliki satu paket plastik lutsinar berisi dadah jenis Syabu seberat 5.15 gram (RM772.50) serta satu paket plastik lagi berisi 10 gulung kertas timah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nasri berkata serbuan di sebuah ladang sawit di Jalan Jerocho turut membawa penangkapan seorang lelaki Filipina berusia 49 tahun yang diburu polis sejak setahun lalu, dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah termasuk menjual Syabu.
Menurutnya, suspek ditahan bersama dadah jenis Syabu dianggarkan bernilai RM9,037 ketika diserbu.
“Polis yang memeriksa beg silang dipakai saspek menemukan satu beg kecil berwarna coklat yang mengandungi empat paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 60.25 gram dan 30 gulung kertas timah," katanya dan menambah polis turut menjumpai penyedut minuman berwarna putih yang telah diubahsuai, alat penimbang serta gunting.
Beliau berkata, polis Lahad Datu komited untuk membanteras jenayah dadah hingga ke akar umbi termasuk aktiviti perjudian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!