UMP meterai MoU bersama Volkswagen Group Malaysia

No Image Caption
A
A
A

UNIVERSITI Malaysia Pahang (UMP) hari ini, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama jenama automotif terkemuka dunia Volkswagen Group Malaysia (VGM) bagi menjalin kerjasama strategik dua hala.

Pada majlis itu, UMP diwakili Naib Canselornya Profesor Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim dan Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Profesor Madya Dr Nik Mohd Zuki Nik Mohamed manakala VGM diwakili pengurusnya Danny Auerswald dan pengurus Volkswagen Pekan Nor Hayati Othman.

Daing Nasir semasa ditemui menyifatkan jalinan kerjasama itu sebagai platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan dengan pemain industri bagi memperkasakan pendidikan, penyelidikan dan teknologi, khususnya dalam bidang automotif dan elektronik.

"Menerusi kerjasama ini, VGM akan berkongsi kepakaran, sumber dan pengetahuan dalam teknologi kejuruteraan Jerman yang terkenal di dunia dengan industri pembuatan kereta.

"Pihak Volkswagen di Pekan juga akan menawarkan penempatan latihan industri kepada pelajar dan MoU ini juga melibatkan seminar, bengkel dan kajian penyelidikan teknologi baharu," katanya kepada pemberita selepas menandatangani MoU itu di UMP di sini, Selasa.

Daing Nasir berkata beliau difahamkan setakat ini, terdapat empat model kereta yang dijual di Malaysia yang dipasang di kilang Volswagen di sini, iaitu Polo, Vento, Passat dan Tiguan.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan sokongan VGM kepada universiti itu dapat melonjakkan universiti ini ke suatu tahap pencapaian yang lebih baik.

"Jika hari ini di Lembah Silikon, Amerika Syarikat terdapat Makmal Penyelidikan Volkswagen, tidak mustahil jika Pekan akan memiliki Akademi Volkswagen Autotronik pada masa akan datang," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!