Pengusaha restoran rugi 'pegawai tentera' tipu tempah makanan

Tempahan oleh lelaki yang menyamar pegawai tentera.
Tempahan oleh lelaki yang menyamar pegawai tentera.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengusaha restoran di sini terpaksa menanggung kerugian lebih RM6,000 selepas menjadi mangsa penipuan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai tentera.

Pengusaha Restoran Ratu Patin, Wan Nor Halimatul Faizah Wan Zawawi, 32, berkata, lelaki terbabit yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Kapten Wahid Sabri' menempah 150 bungkus set patin sehari bernilai RM15 setiap satu untuk tempoh tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad.

Menurutnya, lelaki itu menempah set tersebut pada Khamis bagi tujuan majlis pengambilan anggota baharu.

"Silap kami juga sebab tak minta deposit dahulu. Selalunya tak pernah buat macam ini, mungkin percaya dengan kredibiliti penjawat awam selain disertakan pesanan pembelian menggunakan kepala surat kementerian.

"Tempahan pun dibuat secara tergesa-gesa dan saya semakin pelik semalam (Jumaat) bila diminta membayar deposit pada seorang pembekal air tapi saya tak nak bayar sebelum nombor disekat dan seterusnya tempahan yang disediakan tidak diambil pada hari sama," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah wanita itu lagi, lelaki tersebut dipercayai menggunakan identiti pegawai lain yang juga menjadi mangsa lelaki terbabit.

"Itu pun selepas suami melakukan siasatan kerana ada kenalan dan difahamkan lelaki itu telah mencuri identiti dan gambar pegawai tersebut. Pegawai berkenaan juga telah membuat laporan polis.

"Difahamkan sudah banyak kes sama dilaporkan oleh lelaki tersebut di lokasi-lokasi lain," katanya yang telah mengusahakan restoran itu di Jalan Putra Square 7, di sini sejak dua tahun lalu.

Tambah Wan Nor Halimatul Faizah, dia telah membuat laporan polis dan kejadian itu menyebabkan dirinya serik serta lebih berhati-hati selepas ini.

Dia berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera untuk mengelakkan lebih ramai peniaga menjadi mangsa.

Selain restoran tersebut, difahamkan dua restoran sekitar Kuantan turut mengalami kerugian dipercayai ditipu lelaki sama yang turut menempah 450 bungkus bagi tempoh hari yang sama dan tular di laman sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!