Mahu cepat keluar, alasan lelaki buka pintu kecemasan pesawat

Rakaman insiden itu turut menjadi tular di media sosial pada Jumaat. - Foto Agensi
Rakaman insiden itu turut menjadi tular di media sosial pada Jumaat. - Foto Agensi
A
A
A

SEOUL - "Saya berasa sesak nafas dan mahu turun dengan cepat."

Alasan itu diberikan lelaki yang membuka pintu kecemasan pesawat Asiana Airlines ketika ia mahu mendarat hingga menyebabkan sejumlah mangsa penumpang lain cedera.

Pesawat penerbangan domestik itu membawa hampir 200 penumpang ketika ia menghampiri landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Daegu di Korea Selatan pada Jumaat.

Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu bertindak berani mati membuka pintu keluar tersebut ketika pesawat itu berada pada ketinggian 200 meter dari permukaan landasan.

Individu itu kemudiannya ditahan polis Daegu untuk membantu siasatan.

"Dia memberitahu sedang mengalami tekanan kerana hilang pekerjaan, baru-baru ini. Dia mendakwa penerbangan itu terlalu lama daripada tempoh masa sepatutnya dan mula berasa sesak nafas," kata detektif yang terlibat siasatan itu.

Atas tindakan terburu-burunya, lelaki tersebut bakal berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun kerana melanggar undang-undang keselamatan penerbangan.

Rakaman video yang sempat diambil saksi menunjukkan keadaan huru-hara akibat tekanan udara yang kuat di dalam pesawat sehingga mencetuskan panik dalam kalangan penumpang.

"Penumpang yang duduk dekat dengan pintu kecemasan itu turut pengsan. Pada mulanya, saya menyangka pesawat itu akan meletup dan saya akan mati," kata seorang penumpang berusia 44 tahun yang enggan identitinya didedahkan.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan memaklumkan ia adalah kejadian pertama yang menggemparkan sejarah penerbangan di Seoul. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!