Demi telefon bimbit, sanggup keringkan empangan

Tempoh masa selama tiga hari diambil untuk mengepam keluar kira-kira dua juta liter air dari Empangan Kherkatta di negeri Chhattisgarh. - Foto: Agensi
Tempoh masa selama tiga hari diambil untuk mengepam keluar kira-kira dua juta liter air dari Empangan Kherkatta di negeri Chhattisgarh. - Foto: Agensi
A
A
A

NEW DELHI - Gara-gara mengarahkan sebuah empangan dikeringkan hingga menyebabkan pembaziran kira-kira dua juta liter air, seorang pegawai kerajaan di India berdepan padah setelah dia digantung tugas sehingga siasatan ke atasnya selesai.

Pemeriksa makanan, Rajesh Vishwas bertindak demikian setelah telefon bimbit miliknya yang bernilai 100,000 rupee (RM5,572) terjatuh ke dalam Empangan Kherkatta di negeri Chhattisgarh ketika dia sedang mengambil swafoto.

Media tempatan melaporkan dia sanggup membayar kos pam diesel setelah pasukan penyelam gagal menemui telefon bimbit tersebut.

"Vishwas mendakwa telefon bimbit itu mengandungi data sensitif kerajaan, namun dia didakwa menyalahgunakan kedudukannya," jelas laporan itu lagi.

Sebaik sahaja objek itu ditemui, ia sudah tidak boleh digunakan lagi.

Difahamkan, paras air yang dikeringkan itu cukup untuk mengairi kira-kira 600 hektar kawasan pertanian ketika India sedang berdepan cuaca panas melampau.

"Air adalah sumber yang penting dan tidak sepatutnya dibazirkan seperti itu," kata pegawai daerah Kanker, Priyanka Shukla. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!