Kim Swee mahu Sabah manfaatkan aura Likas

Kim Swee mengakui The Rhinos masih perlu memperbaiki gaya permainan daripada segi bertahan ataupun di bahagian pertahanan. - Foto Bernama
Kim Swee mengakui The Rhinos masih perlu memperbaiki gaya permainan daripada segi bertahan ataupun di bahagian pertahanan. - Foto Bernama
A
A
A

JUARA edisi 1995, Sabah FC perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Likas apabila berdepan Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan suku akhir Piala FA pada Ahad.

Itu peringatan pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee selepas anak buahnya kembali ke landasan kemenangan dengan mengatasi Perak, 3-1 dalam aksi Liga Super 23 Mei lalu.

Rentak kemenangan kelab Kepulauan Borneo tersebut tersentak apabila diikat Terengganu FC, 2-2 pada 19 Mei selepas cemerlang menewaskan Selangor FC 2-1 sebelum itu.

“Kali ini sudah tentu perlawanan yang berbeza kerana ini merupakan suku akhir Piala FA, piala kalah mati.

“Kita harus mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri untuk memastikan Sabah layak ke peringkat seterusnya,” katanya kepada pemberita semasa sesi latihan pasukan pada Sabtu.

Sebagai rekod, Sabah mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menewaskan Kelantan United, 2-0 di Likas pada 16 April lalu.

Sementara itu, KL City pula menewaskan Imigresen FC, 2-0 di Cheras pada 14 April lalu.

Dalam pada itu, Kim Swee mengakui The Rhinos masih perlu memperbaiki beberapa bahagian pasukan tersebut.

“Kita harus memperbaiki lagi gaya permainan daripada segi bertahan ataupun di bahagian pertahanan.

“Semua pemain harus faham bahawa kita tidak boleh sentiasa dibolosi pada setiap perlawanan.

“Jika kita mampu mengawal permainan dengan baik dan bertahan dengan baik saya percaya Sabah mempunyai peluang yang cukup baik untuk layak ke peringkat seterusnya,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran Sabah yang pernah mara ke perlawanan akhir kejuaraan itu sebanyak empat kali, Kim Swee berkata, sudah tentukan pasukannya ingin melangkah ke peringkat yang seterusnya.

“Ahad adalah perlawanan yang cukup penting dan saya tidak ingin para pemain memikirkan tentang untuk layak ke separuh akhir, ke akhir.

“Yang penting kita menjalankan tugas kita bagi memastikan Sabah tidak tewas ataupun gagal layak ke peringkat seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee juga memaklumkan bahawa The Rhinos terpaksa menyisihkan beberapa tonggak yang masih mengalami kecederaan.

“Ada beberapa pemain yang masih lagi mengalami kecederaan seperti Saddil Ramdani yang pasti tak dapat diturunkan.

“Selain itu beberapa pemain lain lagi seperti Ko Kwang-min, Irfan Zakaria yang baru saja pulih dan saya berharap mereka dapat pulih sepenuhnya untuk bersama pasukan kita esok,” katanya.


PIALA FA 2023

Suku Akhir

AHAD (28 Mei)

Sabah FC lwn Kuala Lumpur City FC

(Stadium Likas, 5.45 petang)

JDT lwn Penang FC

(Stadium Sultan Ibrahim, 8.15 malam)

* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!