Kerajaan Pahang minta penasihat undang-undang teliti

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang telah meminta pihak penasihat undang-undang negeri untuk meneliti secara terperinci bidang kuasa yang ada dan bertepatan dengan undang-undang yang ada di mahkamah berikutan kes perebutan hak penjagaan anak Orang Asli yang berlaku di negeri tersebut.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, langkah itu diambil seandainya jika boleh dibuat proses rayuan atau tuntutan dari pihak anak atau keluarga yang mensabitkan jika ada unsur-unsur penderaan.

Beliau berkata sedemikian susulan satu kes di mahkamah di sini mengenai perebutan hak penjagaan di antara ibu bapa Orang Asli yang bercerai terhadap anaknya.

Menurutnya, isu ini menjadi lebih kritikal apabila si ibu dan ayah masih bertelingkah untuk menuntut hak masing-masing.

"Sebenarnya mana-mana pihak tidak boleh mencampuri urusan mahkamah apabila ketetapan telah dibuat.

"Namun kerajaan negeri telah meminta pihak penasihat undang-undang negeri untuk meneliti secara terperinci bidang kuasa yang ada dan bertepatan dengan undang-undang yang ada di mahkamah seandai jika boleh dibuat proses rayuan atau tuntutan dari pihak anak atau keluarga yang mensabitkan jika ada unsur-unsur penderaan.

"Ini bertujuan membantu agar hak pihak yang teraniaya khususnya anak dapat dipelihara sebaik-baiknya," kata beliau dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini,tular klip video di platform TikTok berdurasi 1 minit 31 saat yang dimuatnaik oleh Liputan 7 yang memaparkan ibu dan anak terbabit menangis di Mahkamah Kuantan hingga mendapat tontonan lebih 2 juta setakat ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga bersimpati terhadap anak terbabit seandainya ada unsur-unsur penderaan dari mana-mana pihak.

"Jika perkara ini benar-benar terbukti sudah pasti kerajaan negeri tidak akan berdiam diri. Kebajikan anak ini sudah pasti tidak akan diabaikan samada dari sudut agama ataupun pembelajaran dan kebajikan," ujar Syed Ibrahim lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri juga telah meminta Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Pahang (JAKOA) Serta Unit Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk meneliti dan berusaha bagi membantu perkara-perkara yang boleh dan dibenarkan mengikut undang-undang seandainya anak ini ada di sini dan lebih-lebih lagi jika memohon bantuan.

"Kita yakin perkara ini tidak menjadi sebarang kekusutan daripada mana-mana pihak dan hak anak ini dapat dibela sebaik-baiknya mengikut bidang kuasa mahkamah," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!