Terengganu akui Kelantan sukar dijinakkan

Steinbruckner
Steinbruckner
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner berpuas hati finalis edisi 2022 itu merealisasikan misi menang berdepan seteru tetangga, Kelantan FC, 4-2 dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di Kuala Nerus pada Sabtu.

Jelasnya, TFC dijangka akan memperoleh kemenangan mudah selepas menewaskan The Red Warriors (TRW) 5-0 dalam Derbi Pantai Timur aksi Liga Super di venue sama pada April lalu.

"Perlawanan ini sepatutnya merupakan perlawanan yang mudah untuk Terengganu namun sebaliknya. Biarpun begitu tahniah kepada para pemain apabila membawa pasukan ini ke peringkat seterusnya.

"Empat gol yang menarik daripada empat pemain berbeza Azam Azmi (m-17), Ivan Mamut (m-41), Soney Norde (m-53) dan Syafik Ismail (m-82).

"Saya juga berpuas hati dengan komitmen bahagian pertahanan sepanjang perlawanan biarpun dua gol dihasilkan pasukan Kelantan merupakan kesilapan.

"Sejujurnya saya tidak mahu menyatakan berpunca kesilapan individu, namun saya percaya pemain yang bertanggungjawab mengetahui perkara ini," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan pada Sabtu.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, beliau ingin mengulangi pencapaian TFC pada musim lalu dengan membawa Sang Penyu ke pentas perlawanan akhir piala FA.

Ujarnya, beliau yakin pemain-pemain akan bersedia dari segi fizikal dan mental untuk aksi separuh akhir kalah mati tidak lama lagi sama ada menentang Sabah atau KL City FC.

"Memang peluang seimbang jika TFC bertemu mana-mana pasukan itu kerana dalam saingan Liga Super, kami seri 0-0 dengan KL City FC dan 2-2 dengan Sabah, minggu lalu.

"Tetapi beraksi di laman sendiri bersama ribuan penyokong kami pasti memberi kelebihan dan pemain-pemain tahu misi seterusnya iaitu layak ke final," katanya.

Sementara itu, pengendali Kelantan FC, Frank Bernhardt mengakui biarpun tewas, para pemain TRW telah mempamerkan semangat juang yang tinggi berdepan pasukan pilihan seperti TFC.

"Para pemain telah memberikan tentangan sehabis baik, malah tidak memberikan ruang untuk pemain pasukan Terengganu mencipta banyak peluang melakukan percubaan.

"Malah para pemain akan bersama mempertahankan bahagian benteng sekiranya pasukan lawan mendapat peluang melakukan serangan ke arah gol Kelantan.

"Gol kedua dan keempat Terengganu pula berpunca kesilapan penjaga gol, saya percaya sekiranya elemen seperti ini dapat disisihkan pastinya keputusan akan berubah dalam perlawanan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!