6,750 notis kesalahan merokok libat kutipan RM1.6 juta di Pahang

Operasi dua hari oleh Jabatan Kesihatan Pahang di pelbagai daerah di negeri ini. - Foto ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang
Operasi dua hari oleh Jabatan Kesihatan Pahang di pelbagai daerah di negeri ini. - Foto ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 6,750 notis kompaun kesalahan bernilai RM1,592,100 telah dikeluarkan kepada mereka yang melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Mei tahun ini.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus memberitahu, jabatan itu sentiasa mempergiatkan usaha bagi memastikan PPKHT 2004 dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan masyarakat daripada bahaya merokok.

Menurutnya, sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau 2023 yang disambut pada 31 Mei setiap tahun, jabatan itu juga telah menjalankan operasi bersepadu PPKHT 2004 pada Jumaat dan Sabtu.

"Operasi ini melibatkan seramai 110 pegawai diberi kuasa dari semua daerah di negeri ini dilaksanakan di daerah Kuantan, Temerloh dan Bentong.

"Hasil daripada operasi ini, sebanyak 495 notis kompaun telah dikeluarkan dengan nilai sebanyak RM112,350 melibatkan pelbagai kesalahan merokok di tempat larangan merokok dan kegagalan pemilik memastikan tiada orang merokok," kata beliau dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, operasi tersebut turut menguatkuasakan peraturan sedia ada berkaitan larangan merokok terhadap orang belum dewasa (OBD).

Jelas Azimi, menerusi operasi terbabit, seramai 57 OBD telah diberikan notis kerana didapati merokok, menghisap rokok elektronik/ vape atau memiliki hasil tembakau.

"Kita akan meneruskan operasi penguatkuasaan PPKHT 2004 bagi membendung tabiat merokok dan melindungi orang ramai daripada bahaya rokok," tambah beliau.

Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang jomquit.com.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!