Semangat saja tak cukup, NSFC perlu import tambahan - Devan
PENGENDALI Negeri Sembilan FC, K Devan enggan menuding jari menyalahkan para pemainnya berikutan kekalahan juara edisi 2010 itu kepada Selangor FC, 1-3 dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Sabtu.
Sebaliknya Devan menyifatkan, kekurangan pemain import antara faktor yang menyebabkan kualiti permainan skuad Rusa itu tidak berupaya menyaingi kekuatan anak buah Tan Cheng Hoe.
"Ya, sememangnya begitu dirasai ketiadaan pemain import ini menjejaskan prestasi pasukan terutamanya apabila dibandingkan prestasi Negeri Sembilan dengan pasukan seperti Selangor dan Kedah (Kedah Darul Aman) yang dianggap pasukan top, kita tidak miliki kualiti untuk bersaing dari aspek pemain import.
"Namun hari ini kalau dilihat kepada perlawanan sememangnya kita tidak boleh menyalahkan para pemain kerana mereka sudah bermain bersungguh-sungguh hingga saat akhir perlawanan. Tapi masih tidak dapat menyaingi kehebatan Selangor," katanya kepada pemberita selepas perlawanan pada Sabtu.
Dalam perlawanan itu, bekas pemain pertahanan Selangor, Muhammad Safuwan Baharudin terlebih dulu menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid seawal minit pertama untuk mendahului pasukan pelawat.
Bagaimanapun, anak buah Cheng Hoe kembali menyamakan kedudukan menerusi Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ketiga untuk kedudukan 1-1 separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, Selangor melebarkan jaringan menerusi Yuhandry Orozco Cujia pada minit ke-60 sebelum pemain berusia 32 tahun dari Venezuela itu meledak gol kedua peribadinya minit ke-87 untuk kedudukan 3-1.
Dalam masa sama, Devan sekali lagi mengulangi pandangan bahawa skuad Hoben Jang Hoben itu amat memerlukan kuota pemain import sama seperti pasukan Liga Malaysia lain bagi memastikan pasukan tersebut menyaingi pasukan lawan.
"Semangat sahaja tidak cukup untuk cipta kejayaan, hari ini (malam tadi) pemain Negeri Sembilan ada semangat tapi kualiti iaitu sumbangan daripada pemain import?
"Para penyokong Negeri Sembilan di luar tidak mengetahui masalah sebenar pasukan pada ketika ini, dan saya juga tidak boleh bagi tahu kepada setiap penyokong dan saya amat harap pihak media membantu kita," kata pengendali kelahiran Bahau itu.
Devan juga menegaskan, keputusan sesuatu perlawanan boleh memberi impak kepada moral dan semangat pemain seterusnya akan mendorong kepada suasana tidak baik dalam pasukan.
"Saya terpaksa luahkan perkara ini kerana saya pun mahu menang. Jika Negeri Sembilan memiliki pemain import yang mencukupi dan berkualiti, pastinya kita boleh sasarkan kedudukan lebih baik dalam liga seperti musim lalu," katanya.
Sementara itu, Devan juga tidak menafikan skuad Jang bermula dengan baik malah berjaya bertahan walaupun pada minit-minit terakhir biarpun dengan 10 pemain.
"Babak kedua nampak sedikit kelonggaran di bahagian pertahanan dan saya buat pertukaran taktikal lebih menyerang malah ada serangan-serangan, saya rasa ada tiga empat kali penjaga gol mereka menyelamatkan keadaan sehinggalah kita dibolosi gol ketiga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!