Jangan pandang rendah media sosial
IPOH - Gerakan maklumat di media sosial tidak boleh dipandang rendah oleh media tradisional untuk memastikan kelangsungan media itu di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Mindshare, Sheila Shanmugam berkata, kelangsungan media tradisional kini bergantung sejauh mana mereka mampu mengadaptasi penggunaan media sosial dalam menyebarkan maklumat.
Menurutnya, media tradisional memang sedang berdepan masalah di sebalik fenomena media sosial yang menjadikan semua orang boleh mencipta kandungan sendiri untuk menjadi popular.
"Apa yang membuatkan orang kembali kepada media tradisi adalah daripada media sosial. Gerakan media sosial sangat besar dan kita tak boleh pandang rendah walaupun saya setuju kita perlu berikan garis panduan tertentu terhadap penggunaan media sosial terutama berkaitan ucapan menghina atau berbaur perkauman yang kita perlu letakkan peraturan.
"Kenapa media tradisional semakin hilang kepentingannya kerana terlalu banyak kawalan apa yang boleh dicakap dan tak boleh, apa yang boleh dilaporkan dan tak boleh dilapor tetapi berbeza dengan media sosial yang ada kebebasan sendiri yang orang awam boleh gunakan," katanya ketika Forum Media bertajuk Kelangsungan Media Tradisional dalam Era Digital Sempena Hari Wartawanan Nasional (Hawana) 2023 di Hotel Casuarina di sini pada Ahad.
Sementara itu, bagi Pengarah Operasi Kumpulan Rev Media, Nicholas Sagau, untuk memastikan kelangsungan media tradisional, budaya di dalam bilik berita harus berubah mengikut perkembangan semasa.
Katanya, tidak kira berapa banyak persembahan atau perubahan kandungan tetapi kemampuan bilik berita untuk pergi ke satu tahap menghasilkan kandungan kreatif yang perlu lebih kritikal.
Beliau berkata, paling penting adalah ketangkasan untuk membuat kandungan dan pengamal media juga perlu serba boleh.
Hadir sama ketika forum tersebut, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.
Turut sama sebagai panel, Ketua Editor, Jakarta Post, M Taufiqurrahman dan Penasihat Kanan, Persatuan Para Pengiklan Malaysia, Mohammad Kadri Taib.
Bertemakan 'Media Bebas, Tunjang Demokrasi', Hawana 2023 berlangsung di Ipoh pada Sabtu dan Ahad ini dengan penganjuran pelbagai program antaranya Media Hunt dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Karnival Mini Hawana, forum dan majlis santapan malam bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Majlis kemuncak Hawana 2023 akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!