Tiga maut termasuk dua rentung dalam nahas

Anggota bomba melakukan kerja menyelamat mangsa kemalangan di Kilometer 172.2 Jalan Johor Bahru-Seremban, Segamat pada lewat petang Sabtu.
Anggota bomba melakukan kerja menyelamat mangsa kemalangan di Kilometer 172.2 Jalan Johor Bahru-Seremban, Segamat pada lewat petang Sabtu.
A
A
A

SEGAMAT - Tiga maut termasuk dua rentung selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bertembung dengan sebuah kereta sebelum terbabas dalam gaung di Kilometer 172.2 Jalan Johor Bahru-Seremban di sini pada petang Sabtu.

Kejadian pada jam 6.30 petang itu mengorbankan Hoo Kok Yong, 35, Wong Chee Choy, 62, dan Chong Jui Chat, 67, manakala Lee Lam Chai, 67, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan itu membabitkan kenderaan MPV Toyota Sienta dan kereta Mercedes-Benz.

"Siasatan awal mendapat kemalangan berpunca MPV Toyota Seinta dipandu mangsa lelaki berusia 36 tahun hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung Mercedes-Benz berkenaan.

"Pemandu Mercedes-Benz berusia 35 tahun dan seorang penumpang berusia 62 tahun rentung manakala seorang lagi penumpang berusia 67 tahun cedera parah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pemandu Toyota Sienta yang berusia 67 tahun dan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Segamat turut meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Mangsa yang cedera parah itu katanya, dirawat di zon merah Hospital Daerah Segamat (HDS) dan proses bedah siasat mayat juga dijalankan di jabatan forensik hospital berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan Penguatkusaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menerusi talian 07-9325811.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata, seramai 10 anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu Utiliti Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan tersebut mengakibatkan Mercedes-Benz yang terbakar 70 peratus, dua mangsa dalam kereta itu tersepit dan rentung.

"Toyota Sienta itu pula telah terbabas dan jatuh ke dalam gaung pada kedalaman kira-kira 4.5 meter dan pemandunya juga tersepit dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir," ujar beliau.

Tambah Marzuki, operasi menyelamat mangsa tamat pada jam 8.45 malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!