Alaf 21 terbit novel ikut acuan drama Korea

Lima penulis berpengalaman telah dipilih untuk lima novel rintis K-Lit dari kiri Arman Jazee, Riley Fizan, Nurkariema, Azzah AR dan Bahruddin Bekri. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Lima penulis berpengalaman telah dipilih untuk lima novel rintis K-Lit dari kiri Arman Jazee, Riley Fizan, Nurkariema, Azzah AR dan Bahruddin Bekri. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Grup Buku Karangkraf melangkah setapak lagi apabila melancarkan novel genre baharu Karangkraf Literature (K-Lit) di bawah anak syarikatnya Alaf 21 Sdn Bhd.

Pengurus R&D Grup Buku Karangkraf, Azzah Abdul Rahman berkata, K-Lit ialah genre novel yang ditulis mengikut acuan drama Korea dari segi teknikal namun mempunyai ciri-ciri Malaysia seperti kebudayaan, makanan, gaya hidup dan sebagainya. Juga menampilkan bidang kerjaya tertentu yang informatif.

Menurutnya, Isu-isu yang dibawa dalam K-Lit ialah isu universal, tetapi latar ceritanya lokal.

“K-Lit dibentuk supaya memenuhi citarasa pembaca yang semakin mahukan kelainan dalam karya tempatan.

“Setiap karya K-Lit perlu memiliki ciri-ciri tertentu berpandukan Garis Panduan K-Lit,” katanya pada pelancaran K-Lit dan lima novel Alaf 21 baharu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke- 40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Izzat Izhar Muhammad Nasir.

Difahamkan lima penulis berpengalaman telah dipilih untuk lima novel rintis K-Lit antaranya Bahruddin Bekri - Rahsia Paling Rahsia ; Azzah AR - Senaskhah Hidup; Arman Jazee – Leluhur; Riley Fizan - Ekspres Jupiter dan Sayap Berlian - Nurkariema

Jelasnya, paling penting genre K-Lit diwujudkan antaranya mahu mempromosikan negara disamping menggunakan bahasa yang betul dan pada masa yang sama ianya turut menjaga sensitiviti dan patuh syariah.

“Perjuangan utama K-Lit ialah menghasilkan konten kreatif yang mampu mencapai standard platform OTT antarabangsa seperti Netflix, Disney+ dan sebagainya, supaya budaya Malaysia dikenali dan diminati di seluruh dunia, sebab itu kita pilih KDrama (Korea Drama) menjadi acuan K-Lit,” ujarnya.

Tambahnya lagi, antara elemen yang diterapkan dalam K-Lit ialah kekeluargan, persahabatan, bidang kerjaya,perjuangan, kebangkitan dan cinta.


INFO

Alaf 21 mengalu-alukan penghantaran manuskrip untuk genre K-Lit. Caranya:

1. Muat turun borang Proposal Novel K-Lit di https://linktr.ee/proposalbukukarangkraf

2. Baca dan fahamkan Garis Panduan Novel K-Lit 2023

3. Hantarkan proposal dan sebaik-baiknya tiga bab pertama kepada rndgbk@karangkraf.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!