Pengembara terpaksa beratur lebih sejam di terminal feri Labuan

Suasana sibuk sekitar terminal feri Labuan berlaku sejak Jumaat lepas, bertepatan dengan bermulanya cuti panjang. - Foto Bernama
Suasana sibuk sekitar terminal feri Labuan berlaku sejak Jumaat lepas, bertepatan dengan bermulanya cuti panjang. - Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Pengembara yang ingin keluar dari pulau bebas cukai ini terpaksa beratur panjang lebih sejam di terminal feri keluar masuk (ro-ro) Labuan sejak Jumaat lepas, dan keadaan sesak itu dijangka berlarutan hingga hujung minggu depan.

Kebanyakan mereka menyalahkan barisan yang bercampur antara pengembara Sabah dan Semenanjung di kaunter imigresen dan petugas tidak mencukupi meskipun peningkatan jumlah pengguna terminal sudah dijangka, sebagai punca kesesakan.

Pengendali perkhidmatan feri, Labuan Mainland Link Sdn Bhd memohon maaf kepada pengembara yang terpaksa menuggu lama untuk masuk dan keluar feri berikutan jumlah pengguna bertambah sempena cuti sekolah serta cuti Pesta Kaamatan untuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 30 dan 31 Mei.

Pemeriksaan imigresen dijalankan di kedua-dua pintu keluar iaitu terminal feri Labuan dan Menumbok.

Syarikat pengurusan tiket di terminal feri berkenaan, Labuan Point Sdn Bhd, mengesahkan lebih 10,000 tiket bagi kenderaan dan penumpang habis dijual dua minggu menjelang gabungan cuti sekolah (26-3 Jun) dan Pesta Kaamatan (30-31 Mei) itu.

Ketua Polis Labuan, Superintenden Ahmad Jawilah telah memberi amaran berlakunya kesesakan di jalan raya, manakala lonjakan permintaan di Lapangan Terbang Labuan juga menambah ‘sakit kepala’ kepada mereka yang ingin bercuti.

Suasana sibuk sekitar terminal feri Labuan itu berlaku sejak Jumaat lepas, bertepatan dengan bermulanya cuti panjang.

Labuan Mainland Link mengendalikan empat feri ro-ro iaitu Putrajaya1, Goodwill Star, Kimanis 1 dan Joy Star.

Feri terbesar, Putrajaya 1, boleh menampung hingga 85 kenderaan dan 500 penumpang pada satu masa, Goodwill Star (85 kenderaan dan 420 penumpang), manakala Kimanis 1 dan Joy Star masing-masing dengan 55 kenderaan dan 220 penumpang.

Pengurus Labuan Point Enterprise, syarikat pengurusan tiket bagi keempat-empat feri itu, Robert Ling Song Shieng berkata, tiket bagi laluan Labuan-Menumbok antara 26 Mei dan 3 Jun habis dijual sejak dua minggu lepas.

Menurutnya dalam tempoh itu, terdapat enam hingga sembilan perkhidmatan feri setiap hari dari 7.30 pagi hingga 8 malam, dan beliau menjangka masalah tersebut akan berlarutan hingga Sabtu.

Justeru, beliau mengingatkan pengembara agar datang sekurang-kurangnya dua jam lebih awal daripada masa berlepas untuk pemeriksaan keselamatan kawalan sempadan.

Seorang penumpang, Terence Kensen, 45, yang sepatutnya menaiki feri hari ini, pada saat akhir menukar perjalanan dengan membeli tiket penerbangan dari Labuan ke Kota Kinabalu berharga RM1,000, untuk mengelak daripada beratur panjang di terminal feri.

Pengurus syarikat kewangan luar pesisir itu bimbang tersekat berjam-jam bersama ibunya berusia 75 tahun di terminal feri, dan memutuskan untuk menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu bagi menyambut Kaamatan bersama keluarga di Penampang, Sabah.

"Pagi ini saya ambil keputusan menempah tiket Malaysia Airlines dan berlepas dari Lapangan Terbang Labuan ke Kota Kinabalu, yang pasti kosnya jauh lebih mahal,” katanya.

Pengembara telah diingatkan sejak awal minggu ini bahawa jalan raya di Labuan dan Menumbok ke Kota Kinabalu akan lebih sibuk dengan bermulanya musim cuti.

Mereka perlu merancang perjalanan yang mengambil masa lebih lama daripada biasa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!