Cheng Hoe tabik mentaliti menang Selangor FC di Paroi
MENTALITI menang dipamerkan pemain Selangor FC ketika bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menyingkirkan Negeri Sembilan FC 3-1 dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu disifatkan sesuatu yang membanggakan pengendali The Red Giants, Tan Cheng Hoe.
Malah Cheng Hoe mengakui turut kagum dengan sikap setiap pemainnya terutama pada aksi babak pertama ketika berdepan gaya permainan taktikal skuad Rusa kendalian K Devan yang menyaksikan benteng pasukan pelawat sering diuji beberapa percubaan tuan rumah.
"Ya, tidak dinafikan gol seawal minit pertama menyebabkan keyakinan dan kelancaran corak permainan Selangor turut terjejas pada separuh masa pertama.
"Namun saya amat gembira apabila mentaliti pemain untuk kembali semula dengan gol penyamaan berapa minit selepas itu.
"Malah dalam separuh masa kedua, mentaliti untuk menang itu bertambah kuat apabila mula mengawal tempo perlawanan yang diterjemahkan dengan jaringan selepas itu sekali gus membawa pasukan ke separuh akhir," katanya selepas perlawanan di Paroi pada Sabtu.
Dalam pada itu, Cheng Hoe mengakui tentangan sengit yang diberikan Negeri Sembilan terutamanya pada babak pertama perlawanan.
Malah menegaskan secara keseluruhannya corak permainan taktikal skuad Rusa terutama bahagian pertahanan lebih berdisiplin memberikan cabaran kepada jentera serangan Selangor FC.
"Transisi daripada menyerang kepada bertahan cukup penting buat Selangor dalam perlawanan ini penting kerana hanya sedikit kelekaan mengundang padah kepada pasukan.
"Apapun saya gembira apabila para pemain yang diberikan tanggungjawab menggalas cabaran dalam perlawanan ini bermain sebagai satu unit pasukan dalam memastikan kemenangan di Paroi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!