Wartawan perlu diberi ruang rasai kebebasan - PM
IPOH - [DIKEMAS KINI] Kewartawanan di negara ini harus merasai kebebasan dalam menyampaikan berita dalam era baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, media tidak semestinya perlu terlalu memuji kerajaan seperti dilakukan sebelum ini.
Menurutnya, pengkritik kerajaan pula harus diberikan ruang untuk menyatakan pandangan secara terbuka.
"Saya dan rakan-rakan dalam pimpinan kerajaan buat keputusan sangat jelas bahawa media di Malaysia harus bebas. Yang dibangkit atau diungkit jika ada usaha mencetuskan permusuhan kaum menerbitkan risalah agama yang boleh menimbulkan kerosakan dan kekecohan dalam masyarakat.
"Tetapi selain itu kritikan terhadap Perdana Menteri atau pimpinan itu harus diharuskan. Tidak harus menimbulkan rasa cemas dan takut di kalangan pemberita. Saya yakin apa yang kita lakukan dan saya bersedia bertempur dengan hujah. Kalau benar ada kelemahan kita bersedia memohon maaf dan lakukan perubahan yang wajar.
"Ini tidak bermakna beberapa aspek budaya lampau di mana sesiapa yang memerintah itu akan mendapat sanjungan dan pujian dan yang membangkang atau tidak bersama pemerintah itu akan dicaci dihina. Saya tidak mahu ini diteruskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Kemuncak Hari Kewartawanan Nasional 2023 di Hotel Casuarina @ Meru di sini pada Ahad.
Hadir sama pada majlis tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.
Dalam pada itu Anwar menyifatkan wartawan di negara ini bukan menyampaikan maklumat sebaliknya menjadi penggagas dan pencetus idea yang membawa perubahan seperti dilakukan pengamal media terdahulu seperti Ahmad Boestamam, Ibrahim Kajai, Uthman Awang dan sebagainya.
"Pemupukan nilai ini penting kerana Madani ini bagi saya istimewa dan uniknya kerana penekanan akhlak itu mendasari pemikiran kita.
"Saya menggesa rakan-rakan untuk menyedari bahawa untuk menyebarkan maklumat itu berdasarkan ilmu dan nilai.
"Wartawan harus ada usaha di kalangan penggiat media untuk pastikan yang muda dalam kalangan diberikan asuhan bukan sekadar disiplin di kuliah universiti tetapi sejarah memaknai kehidupan dan bagaimana kedudukan rakyat dan negara boleh diangkat harapan dan martabat mereka," katanya.
Bertemakan 'Media Bebas, Tunjang Demokrasi', Hawana 2023 berlangsung di Ipoh pada Sabtu dan Ahad ini dengan penganjuran pelbagai program antaranya Media Hunt dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Karnival Mini Hawana, forum dan majlis santapan malam bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!