Operator kilang maut ditikam rakan sekerja
SUNGAI PETANI - Seorang operator kilang warga Myammar maut dipercayai ditikam rakan senegara ketika berada di bilik penginapan pekerja dekat Bakar Arang dalam kejadian kira-kira 3 pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa berusia 34 tahun dan suspek berusia 35 tahun itu dipercayai bekerja di kilang dan tinggal di asrama yang sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di pekarangan rumah kayu pekerja asing yang dijadikan asrama, di mana suspek dan mangsa adalah jiran bersebelahan bilik.
"Menurut isteri mangsa, semasa berada di dalam bilik mereka, suaminya masuk ke dalam dengan keadaan luka di bahagian kiri perut dan sempat memberitahu telah ditikam oleh suspek sebelum meninggal dunia,"katanya.
Pemeriksaan turut menemui sebilah pisau berhulu hitam berukuran lebih kurang 29 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian ini.
"Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah hadir di tempat kejadian untuk pemeriksaan dan siasatan turut dibantu Unit K9.
"Hasil pemeriksaan awal yang dijalankan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan luka di bahagian kiri perut," katanya.
Menurut Zaidy, motif kejadian dipercayai akibat cemburu, di mana suspek disyaki telah menjalinkan hubungan dengan isteri mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!