Agong berkenan berangkat bertemu Putera Monaco

Al-Sultan Abdullah berkenan bertemu dengan Putera Albert II di Palace of Monaco. - Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah berkenan bertemu dengan Putera Albert II di Palace of Monaco. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bertemu dengan Putera Monaco, Putera Albert II di Palace of Monaco, semalam (27 Mei).

Menurut Facebook Istana Negara pada Ahad, keberangkatan tiba Seri Paduka di Palace of Monaco pada 10.30 pagi waktu tempatan (4.30 petang waktu Malaysia) disambut oleh Putera Albert II.

Selesai majlis di Palace of Monaco, Al-Sultan Abdullah dan Putera Albert II berkenan berangkat ke majlis pelancaran kenderaan pelbagai tugas Rover Lunaire Flex di ibu pejabat Venturi, sebuah syarikat pengeluar automatif yang berpangkalan di Monaco.

Menurut Istana Negara, majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Putera Albert II dan turut dihadiri Perdana Menteri Monaco, Serge Telle serta pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif Venturi, Gildo Pastor.

Al-Sultan Abdullah dan Putera Albert II berkenan berangkat ke majlis pelancaran Rover Lunaire Flex di ibu pejabat Venturi. - Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah dan Putera Albert II berkenan berangkat ke majlis pelancaran Rover Lunaire Flex di ibu pejabat Venturi. - Foto Facebook Istana Negara

"Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima persembahan taklimat berkenaan Rover Lunaire Flex, yang dijangka mula beroperasi dan digunakan di bulan pada 2026 dan buat pertama kalinya dipamerkan kepada awam semalam,” menurut catatan itu.

Seri Paduka turut berkenan berangkat mengunjungi pasukan F1 Mercedes-Petronas di The Paddocks dan kemudiannya, Automobile Club Monaco pada sebelah petang waktu tempatan, semalam.

Seri Paduka kini dalam rangka lawatan khas lima hari ke Monaco sehingga 30 Mei atas persilaan Putera Albert II. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!