Bakar teman wanita hamil: Polis mohon lanjut reman suspek
SABAK BERNAM - Polis akan membuat permohonan lanjutan reman pada Isnin terhadap suspek untuk siasatan kes bunuh dan bakar seorang wanita hamil empat bulan di kawasan belukar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Air Limau di sini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, siasatan kes ini masih dijalankan pihaknya.
"Kita (polis) akan mendapatkan perintah lanjutan reman pada esok (Isnin) terhadap suspek yang juga teman lelaki mangsa.
"Berdasarkan laporan bedah siasat mangsa di Hospital Sungai Buloh, Jumaat lalu, dapati punca kematian adalah kerana luka tikaman di dada," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum itu, suspek telah direman enam hari sehingga 29 Mei untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengulas dakwaan di media sosial mengatakan kes pembunuhan itu melibatkan ramai individu, Agus Salim menafikan perkara itu.
Jelasnya, dakwaan itu adalah satu yang tidak bertanggungjawab dan masyarakat diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Khamis lalu, polis mengesahkan telah mengambil keterangan 10 individu bagi membantu siasatan kes terbabit.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan mangsa berusia 21 tahun dibunuh pada 22 Mei lalu dipercayai kerana teman lelakinya yang mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit bersama mangsa.
Mayat mangsa ditemui pada keesokan harinya selepas polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 8.15 pagi.
Polis kemudian menahan suspek berusia 20 tahun pada hari yang sama di sekitar Sungai Besar, Sabak Bernam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!