Dua maut nahas elak haiwan melintas
RANTAU PANJANG - Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai bergesel dengan sebuah kereta yang cuba mengelak daripada melanggar seekor binatang di Kampung Rahmat, Lubok Stol di sini pada Ahad.
Motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dinaiki Mohamad Ghadafi Mohd Tahir, 30, dan Kamarodeng Chemae, 28, dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki gaung pada jam 12.05 tengah hari bersama dengan kereta jenis Perodua Myvi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta yang dipandu oleh lelaki berusia 27 tahun itu datang dari arah Rantau Panjang ke Jeli.
"Setiba di lokasi tiba-tiba seekor binatang yang tidak dikenal pasti telah melintasi jalan dari arah kiri ke kanan.
"Kereta terbabit cuba mengelak dan memasuki jalan bertentangan lalu bergesel dengan motosikal yang datang dari arah tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kejadian itu telah menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki gaung.
Ujarnya, Mohd Ghadafi disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala Kamarodeng semasa dalam perjalanan ke Hospital Lati.
Kama Azural memberitahu, pemandu dan penumpang kereta terbabit menerima rawatan sebagai pesakit luar di zon kuning hospital yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!