PM terima kad media, simbolik hargai sumbangan media

Anwar menerima kalungan Pas Akreditasi Media daripada Fahmi (kiri) pada kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Hotel Casuarina, Meru pada Ahad. - Foto Bernama
Anwar menerima kalungan Pas Akreditasi Media daripada Fahmi (kiri) pada kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Hotel Casuarina, Meru pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan Malaysia kategori emas, bersempena kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang berlangsung di sini pada Ahad.

Penyerahan kad media kepada Perdana Menteri itu dilakukan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sebagai menghargai usaha Anwar dalam mengangkat martabat kebebasan media di Malaysia.

Turut hadir pada sesi penyerahan di reruai Jabatan Penerangan itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin.

Kad Perakuan Media merupakan satu dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan kepada pengamal media daripada agensi dan syarikat media yang telah didaftarkan dan diperakukan oleh kerajaan secara rasmi melalui Jabatan Penerangan Malaysia untuk sesuatu tempoh yang ditetapkan.

Terdapat lima kategori warna kad yang dikeluarkan iaitu warna hijau mewakil media rasmi kerajaan, warna biru mewakili media tempatan (cetak dan elektronik), warna kelabu mewakili media digital, warna merah mewakili media antarabangsa dan warna emas kepada pegawai penyelaras media.

Purata tahunan pengeluaran bagi permohonan baharu dan memperbaharui Kad Perakuan Media oleh pengamal media di Malaysia adalah sebanyak 3,000 keping setahun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!