KL City jumpa Terengganu separuh akhir Piala FA
KUALA Lumpur (KL) City FC mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Sabah FC 2-1 dalam aksi suku akhir di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Ahad.
Ia sekali gus menyaksikan KL City akan membuat perhitungan dengan Terengganu FC (TFC) selepas pasukan dari pantai timur itu menewaskan Kelantan FC 4-2 dalam satu lagi aksi suku akhir pada Sabtu.
Sabah terlebih dahulu di hadapan selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila Jailton Da Silva dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Paulo Josue pada minit kelima.
Gabriel Peres mudah menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk meletakkan The Rhinos di hadapan.
Begitupun KL City menyamakan kedudukan pada minit ke-29 melalui Romel Morales selepas menyudahkan hantaran lintang Declan Lambert yang gagal ditampan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.
Pasukan pelawat kemudiannya berjaya berada di depan seminit sebelum separuh masa pertama tamat apabila T Saravanan bijak menerima hantaran jauh Zhafri Yahya sebelum merembat untuk gol kedua KL City.
Bersambung babak kedua, Sabah cuba mencari gol penyamaan dan hampir mendapatkannya melalui tandukan Park Taesu yang tersasar selepas menerima hantaran dari sepakan penjuru Baddrol Bakhtiar pada minit ke-50.
Sabah sekali lagi mencipta peluang gol menerusi sepakan percuma daripada Baddrol pada minit ke-69, namun penjaga gol KL City, Azim Al Amin tangkas menyelamatkan sepakan itu.
Usaha berterusan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu mencari gol penyamaan tidak berjaya dan menyaksikan kedudukan kekal sehingga ke wisel penamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!