Warga emas Thailand maut selepas cabut 12 batang gigi
BANGKOK - Seorang warga emas maut selepas 12 batang giginya dicabut dan menyebabkan pendarahan tidak terkawal di Hospital Singburi, dedah anak perempuannya baru-baru ini, lapor portal Thaiger.
Menurut anak perempuan mendiang, Chanthana Khum Khrong, sebelum kejadian ayahnya berusia 64 tahun pernah mendapatkan rawatan penyakit hati di sebuah Hospital Singburi.
Katanya, rawatan itu bermula pada 12 Mei dan selepas itu bapanya ditahan sehingga 15 Mei di hospital sama kerana rawatannya memerlukan antibiotik.
Chanthana mendedahkan bahawa pada 23 Mei, pihak hospital menasihatkan 12 batang gigi rosak ayahnya dibuang dengan melalui dua peringkat. Peringkat pertama doktor akan mencabut tujuh batang gigi dan kemudian lima.
Namun, Chanthana mempersoalkan tindakan doktor yang bertegas mencabut gigi itu walaupun kesihatan ayahnya semakin merosot.
Tambahnya, selepas operasi mencabut selesai, ayahnya mengalami pendarahan tidak berhenti dan doktor hanya memberikan kain kasa untuk digigit dan kadang-kala mendiang tercekik kain itu.
"Jururawat hanya menasihatkan menggigit semula kain tersebut berbanding memberinya ubat bagi menghentikan pendarahan itu," katanya sambil menambah Pengarah Hospital Singburi akan memberi kenyataan rasmi mengenai kes itu dalam masa terdekat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!