Wei Chong-Kai Wun terlepas gelaran sulung Masters Malaysia

Wei Chong dan Kai Wun beraksi baik sebelum tumbang dalam aksi final Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena sebentar tadi. -Foto: Bernama
Wei Chong dan Kai Wun beraksi baik sebelum tumbang dalam aksi final Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena sebentar tadi. -Foto: Bernama
A
A
A

BEREGU muda lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun gagal merangkul kejuaraan Masters Malaysia 2023 apabila tewas 15-21, 24-22, 19-21 kepada wakil Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dalam aksi final di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Wei Chong-Kai Wun gagal mengakhiri kemarau kejuaraan beregu lelaki Masters Malaysia selepas kali terakhir dimenangi gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2013.

Sekalipun terlepas gelaran sulung Masters Malaysia, pujian harus diberikan kepada Wei Chong-Kai Wun yang berjaya mempamerkan peningkatan selepas sekadar menamatkan saingan di pusingan kedua pada edisi 2022.

Dalam laluan mereka ke pentas final kali ini, Wei Chong-Kai Wun memahat sejarah tersendiri apabila mengejutkan gandingan handalan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Wei Chong-Kai Wun yang juga gandingan nombor 26 dunia menumbangkan bekas juara dunia itu dengan kemenangan straight-set 23-21, 21-17 pada aksi suku akhir.

Dalam saingan separuh akhir pada Sabtu, Wei Chong-Kai Wun menyingkirkan satu lagi wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dengan kemenangan 21-17, 22-20.

Terdahulu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah turut terlepas peluang merangkul kejuaraan Masters Malaysia kali ini apabila tumbang di tangan wakil Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.

Biarpun tampil dengan semangat juang tinggi, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking ke-11 dunia terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set 20-22, 21-8, 17-21.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!