ADUN Seremban Jaya terima diploma pada usia 64 tahun
SERDANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran menerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam Operasi dan Pentadbiran Kerja Sosial pada Majlis Konvokesyen Pensijilan Kemahiran Malaysia 2023 pada Ahad.
Gunasekaran berkata, sijil itu memberi suntikan semangat buatnya untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah selepas ini.
"Sudah enam kali bertanding (pilihan raya), tiga kali saya kalah (1995,1999, 2004) tapi pada 2008 saya menang disusuli 2013 dan 2018.
"Sebelum ini saya tidak ada sebarang sijil atau diploma yang boleh ditulis (dalam pencapaian akademik).
"Saya sangat sibuk dengan kerja sampai tidak ada masa sambung belajar namun hari ini saya gembira kerana berjaya menggenggam segulung diploma," katanya ketika ditemui selepas selesai majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.
Perasmian disempurnakan oleh Penasihat Persatuan Pembangunan TVET Nasional (PPTN), Datuk Seri Dr Baharuddin Abu dan turut dihadiri Pengerusi PPTN, Mohamad Yaacob.
Pada majlis itu, seramai 241 graduan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1, 2 dan 3; DKM tahap 4 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) tahap 5.
Gunasekaran berharap, kejayaan menerima diploma ketika usianya 64 tahun menjadi motivasi kepada orang luar untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik dan kemahiran.
"Semasa mula nak sambung (belajar) ada rasa janggal tapi selepas menerima banyak tunjuk ajar dan bantuan, ia jadi mudah.
"Harap pencapaian saya menjadi motivasi untuk lebih ramai lanjutkan pelajaran. Sekarang banyak pilihan, untuk mendapatkan sijil terutama dalam program TVET juga semakin mudah," katanya.
Seorang lagi graduan Diploma Kemahiran Urut Terapeutik dan Penjagaan, Mohd Khairul Azhar Zainal, 33, berkata, diploma diterima amat penting untuk meyakinkan pelanggan yang menerima perkhidmatan di pusat rawatan miliknya yang beroperasi di Bandar Uda, Johor.
"Sijil tauliah sangat penting sekarang kerana banyak pusat urutan dan kecantikan beroperasi tanpa sijil menyebabkan pelanggan jadi was-was serta lebih berhati-hati.
"Ia beri kesedaran kepada saya tentang pentingnya mempunyai kemahiran yang diiktiraf. Saya mempunyai sijil dan pengalaman enam tahun dalam urutan tradisional sebelum sambung ke diploma untuk kembangkan bisnes," katanya.
Sementara itu, Baharuddin berkata, PPTN dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda untuk mengikuti kemahiran menerusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mempunyai peluang pekerjaan yang lebih terjamin.
"Mereka yang mempunyai Skim TVET mempunyai gaji asas RM3,000 yang jauh berbeza dengan sijil akademik sedia ada.
"Saya harap orang Melayu buka mata kerana bidang ini banyak dipelopori warga asing sedangkan permintaan bidang kemahiran bukan hanya keperluan di dalam negara tetapi juga di luar negara," katanya.
Katanya, usaha meningkatkan kesedaran mengikuti bidang TVET dipergiat dengan taklimat dan hebahan di peringkat sekolah.
"Kebolehpasaran kini lebih kepada sijil kemahiran dan bukan lagi akademik. Malah, sijil TVET dikeluarkan di negara ini turut diiktiraf di luar negara hingga ada antara pelajar luar turut mengikuti pengajian di Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!