Peringatan untuk 'makcik mulut longkang'
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A
Mentang-mentanglah bakal pengantin agak berisi, terus dikatakan cincin tak muat. Nasib baik bakal ibu mertua sporting dan terus masukkan cincin. Alhamdulillah muat. Kan dah termalu sendiri ‘mak cik mulut longkang’ itu. Tular pula jadinya. Mana nak letak muka?
Merak Jalanan cuba bayangkan jika perkara tersebut terjadi pada darah daging sendiri atau orang yang kita kenali. Mesti mendidih hati apabila dikatakan begitu dalam majlis yang dihadiri oleh ramai orang. Dah lah jadi tumpuan utama. Seolah-olah dimalukan pula.
Jika ikut kesabaran memang nipis dan tak tahu apa akan berlaku pada ‘mak cik mulut longkang’ itu.
Tetapi dalam hal ini, Merak Jalanan puji si gadis manis dan bakal ibu mertuanya yang nampak tenang. Bagus kerana dapat menyimpan perasaan tersebut dan berlapang dada.
Cuma sebagai manusia normal seharusnya kita perlu menjaga adab dalam majlis. Itu juga yang kita diajar sejak kecil. Kita ini orang Timur yang penuh dengan budaya dan adab.
Jangan keluarkan perkataan yang mungkin menyakitkan hati orang lain yang pada kita mungkin sekadar cuba berseloroh, tetapi orang lain tidak anggap begitu. Mungkin dianggap tidak menghormati majlis atau lebih teruk lagi, kurang ajar, biadab atau yang lain sepertinya.
Seharusnyalah cuba kaedah ini iaitu bisukan mulut, butakan mata, pekakkan telinga. Apa-apa sahaja yang terjadi jangan terlalu cepat sangat menyahut. Diam itu lebih baik jika tidak boleh nak membantu.
Merak Jalanan syorkan jugalah, kepada yang terasa dan berada dalam kategori ‘mulut longkang’, tidak kisahlah mak cik ke, pak cik ke, adik-adik ke, jika tidak boleh diam, sila jangan datang majlis orang, mudah bukan?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!