Jangan yang kaya terus kaya

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PADA minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan bahawa golongan berpendapatan tinggi atau T20 tidak akan lagi menerima sebarang subsidi sama ada untuk penggunaan elektrik atau menunaikan ibadah haji.

Kenyataan tersebut mendapat sokongan daripada Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dalam satu sidang akhbar Jumaat lalu mengakui bahawa Malaysia tersilap memberi subsidi kepada golongan kaya.

Memetik laporan media, Ahmad berkata, selama ini mereka yang memiliki lebih banyak penyaman udara dan kereta di rumah menikmati banyak subsidi sedangkan golongan miskin tiada penyaman udara serta memiliki motosikal kecil hanya terima sedikit.

“Sebagai kerajaan bertanggungjawab maka kesilapan dasar ini perlu diperbetulkan,” katanya.

Meninjau di laman sosial berkaitan isu ini, terdapat pelbagai pendapat antaranya ada yang memberi maklum balas bahawa untuk kegunaan peribadi iaitu di rumah, penarikan subsidi tersebut masih boleh diterima namun untuk berkaitan perniagaan, mereka masih mengharapkan subsidi daripada kerajaan.

Pun begitu, ada juga golongan T20 yang tidak berpuas hati langsung dengan keputusan Kerajaan Perpaduan ini. Bagi mereka, T20 juga layak menerima subsidi seperti golongan lain atas fakta yang mungkin, seperti mereka juga telah membantu untuk merancakkan ekonomi negara. Jadi apakah salahnya jika mereka juga terus menerima subsidi?

Dalam hal ini, kerajaan diyakini telah mempunyai perancangan rapi sebelum mengeluarkan keputusan ini. Oleh itu, seharusnya golongan T20 menghormati keputusan tersebut demi membantu negara sekali gus membantu golongan B40 dan M40 agar dapat bersama-sama menikmati kemewahan negara.

Kita tidak mahu jadi seperti beberapa negara lain yang terdapat golongan kaya bertambah kaya, golongan miskin bertambah miskin kerana jurang yang dibentuk oleh dasar kerajaan itu sendiri. Akibatnya wang menjadi ‘raja’. Apabila wang menjadi ‘raja’, rasuah pula akan lebih berkuasa.

Bagaimanapun, jalan perbincangan masih terbuka kerana kerajaan sekarang adalah kerajaan yang mendengar luahan rakyat dan sudah semestinya keputusan itu akan berpihak kepada rakyat.

Pun begitu, berkenaan dengan ibadah haji pula, harapnya tiada kompromi kerana jika T20 boleh mengerjakan umrah setiap bulan atau tiga bulan sekali, kenapa perlukan subsidi haji? Takkan itu pun T20 nak subsidi lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!