Young Tigers dituntut tutup kempen kumpulan dengan kemenangan

The Young Tigers akan berdepan Oman dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Remaja Asia 2023 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman, awal pagi Selasa.
The Young Tigers akan berdepan Oman dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Remaja Asia 2023 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman, awal pagi Selasa.
A
A
A

SKUAD hoki remaja negara dituntut sekali lagi untuk mengekalkan rentak kemenangan apabila melayan tuan rumah Oman dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Remaja Asia 2023 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman pada Selasa.

Malah biarpun telah mengesahkan slot ke separuh akhir, pengendali The Young Tigers, Muhamad Amin Rahim mengingatkan para pemainnya untuk mengekalkan rekod bersih menang semua perlawanan.

Namun pada masa sama jelasnya, para pemain negara harus bersedia dengan sebarang kemungkinan dan kekal fokus dengan matlamat serta objektif pasukan.

“Oman ada kelebihan selaku tuan rumah, pasti mereka akan turun dengan kelebihan tersebut. Selain itu juga mereka bermain agak fizikal serta agresif.

“Namun saya yakin dengan kemampuan para pemain The Young Tigers berdasarkan penampilan di sepanjang kejohanan ini.

“Biarpun begitu sekali lagi saya ingin ingatkan para pemain bahawa setiap mereka harus kekas fokus dan konsisten untuk semua perlawanan sepanjang kejohanan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Skuad muda negara kendalian Muhamad Amin memulakan kempen pada Piala Remaja Asia 2023 dengan langkah kanan dengan menewaskan Uzbekistan 8–1, Bangladesh (5-1) dan Korea Selatan (3–1).

Pada masa sama Muhamad Amin memuji komitmen dan disiplin tinggi yang dipamerkan para pemainnya dalam tiga perlawanan terakhir kumpulan sebelum ini.

“Untuk tiga perlawanan yang telah kita harungi ini, pemain telah menunjukkan disiplin yang baik sebagai satu pasukan.

“Malah setiap mereka telah mengikut game plan yang dirancang barisan kejurulatihan dengan baik dan sempurna serta memahami setiap tugasan yang diberikan kepada mereka.

“Buat masa ini tiada kecederaan serius dialami pemain-pemain dan tiada pemain yang terlepas perlawanan berdepan Oman akibat penggantungan,” katanya.

PIALA DUNIA REMAJA 2023

Kumpulan B

SELASA (30 MEI)

Malaysia lwn Oman, 12.30 tengah malam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!