Dari hobi ikan beta ke ternakan keli
KOTA BHARU - Selepas dua tahun mendapat keuntungan hasil hobi memelihara ikan beta, seorang anak muda memberanikan diri meneroka bidang ternakan ikan keli bagi meningkatkan ekonomi keluarga di Kampung Lubok Jambu, Kedai Mulong di sini.
Muhammad Firdaus Che Mohd Adnan, 27, memulakan langkah menceburi bidang ternakan ikan itu dengan modal RM5,000 bagi membina sendiri sangkar ikan dan sistem pempaipan dengan menggunakan tiga tangki air di mana setiap satu berkapasiti 500 gelen dan satu kanvas seluas 12 meter persegi.
“Pada awal Januari lalu, saya bermula dengan membeli 1,000 ekor anak ikan keli yang berharga 7 sen setiapnya sebesar tiga inci.
“Selepas empat bulan memelihara dan memberi makan palet, ikan ini mulai matang dan dijual kepada peniaga kedai makan serta secara runcit berharga RM7 sekilogram,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Muhammad Firdaus dapat melihat potensi besar ternakan ikan keli apabila permintaan terhadap bekalan air tawar itu semakin meningkat dari hari ke hari.
“Di Kelantan, ikan keli ialah antara menu yang menjadi kegemaran orang ramai dan dikomersialkan secara meluas di restoran-restoran.
“Kos makanan ikan yang diperlukan ialah sebanyak RM80 bagi 20 kilogram palet pada setiap bulan.
“Setakat ini, ikan-ikan dijual di pasaran tempatan dan saya optimis untuk meluaskan lokasi pemasaran sehingga ke luar negeri Kelantan pada masa akan datang,” katanya.
Muhammad Firdaus juga menyasarkan penambahan 10 kolam ikan buatannya itu untuk menambah lebih 10,000 lagi anak ikan dalam masa terdekat selain akan mengikuti kursus pembenihan ikan-ikan untuk mengembangkan perniagaan.
“Dalam tempoh tiga tahun lagi, saya mahu membeli sebuah lori tiga tan bagi memudahkan urusan penghantaran ikan-ikan kepada pelanggan.
“Buat masa sekarang saya hanya menggunakan kereta untuk tujuan itu dan mahu mengumpul lebih ramai pelanggan baharu melalui promosi di media sosial seperti TikTok,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!