Pencapaian terburuk Klopp bersama Liverpool
LIVERPOOL menutup saingan Liga Perdana Inggris (EPL) dengan 11 perlawanan tanpa kalah, namun tidak mampu menafikan hakikat bahawa 2022-23 adalah musim terburuk Jurgen Klopp mengemudi The Reds.
Pasukan itu dipaksa untuk bangkit sebelum meraih keputusan seri 4-4 menentang Southampton di Stadium St Mary pada Ahad.
Liverpool mensia-siakan dua gol awal Diogo Jota dan Roberto Firmino selepas gawang dibolosi dua gol Kamal Sulemana dan masing-masing satu gol dari James Ward-Prowse serta Adam Armstrong.
Penyerang Belanda, Cody Gakpo mencetuskan kebangkitan dengan gol pada minit ke-72 sebelum Jota menyamakan kedudukan seminit berselang.
Keputusan perlawanan menentang Southampton memang tidak mengubah nasib Liverpool yang mengakhiri saingan liga di kedudukan kelima EPL.
Namun, dengan satu mata tambahan itu menyaksikan pasukan kendalian Klopp itu hanya mengumpul 67 mata dalam 38 perlawanan.
Statistik Squawka menunjukkan Liverpool mengharungi musim terburuj di bawak Klopp dengan pengendali dari Jerman itu mula mengambil alih Liverpool pada penghujung musim 2015 sebelum memulakan tugas sepenuhnya pada musim 2016-17.
Sepanjang enam musim terakhir Klopp mengemudi Liverpool, mereka tidak pernah mengakhiri liga di luar kelompok empat terbaik.
"Syukur untuk 11 perlawanan terakhir kerana ia sangat membantu. Ia memberi kami rangsangan sebenar, memberi kami perspektif, memberi kami asas untuk apa yang perlu kami lakukan.
"Ia tidak akan mengubah musim ini menjadi yang terbaik, kami menyedarinya. Kami sangat kecewa dengan hakikat bahawa kami gagal menempatkan diri dalam kelompok empat teratas.
"Kami menempuhi musim yang buruk, kami berada di tempat kelima, itu juga satu mesej. Bayangkan kami dalam keadaan yang normal, yang pastinya kami akan kembali pada musim depan dan akan kembali menjadi pencabar," kata Klopp.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!