Tubuh sekretariat diraja tangani ketidakstabilan politik

NORALI
NORALI
A
A
A

IPOH - Gagasan Melayu Perak (GMP) mencadangkan agar satu sekretariat di bawah Majlis Raja-Raja ditubuhkan bagi menangani ketidakstabilan politik di negara ini yang memberi kesan kepada kemelesetan ekonomi.

Presidennya, Norali Nordin berkata, ekonomi sesebuah negara menjadi kuat dengan adanya kestabilan politik namun Malaysia pula semenjak tahun 2018 mengalami ketidaktentuan politik mengakibatkan persepsi pelabur kepada daya saing ekonomi negara kabur sekaligus melemahkan kekuatan matawang.

Jelas beliau, untuk itu amat wajar jika sekretariat berkenaan diwujudkan demi kesejahteraan rakyat Malaysia yang sedang merasai bahang kemelesetan ekonomi bagi meleraikan sengketa di antara parti-parti politik.

"Pakar ekonomi mungkin boleh mengandaikan bahawa kelemahan matawang Malaysia adalah kerana faktor luaran. Namun, mereka tidak mampu menidakkan faktor ketidakstabilan politik sebagai punca kepada segala ketidaktentuan ini.

"Hakikatnya, pelabur tidak akan membuat apa-apa pelaburan ke sesebuah negara yang menukar kerajaan dua tiga kali di dalam satu penggal parlimen tanpa melalui proses pilihan raya. Di kala ini pun kita sedang mendengar percubaan menukar kerajaan oleh pihak pembangkang tanpa melalui proses pilihanraya. Adakah ini suatu berita yang dialu-alukan oleh para pelabur?" katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Norali berkata, cadangan itu bukanlah bertujuan mengheret Institusi Raja-Raja Melayu ke dalam kancah percaturan politik sebaliknya menjadi kuasa pendamai demi kesejahteraan dan kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia.

Jelasnya, GMP mencadangkan supaya bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dilantik mengetuai sekretariat berkenaan kerana berpengalaman luas di dalam bidang politik dan ekonomi disamping mengenali kesemua figura ahli politik yang sedang bersengketa ketika ini.

Menurutnya, sejarah membuktikan bahawa beliau tidak terlibat dalam mana-mana persengketaan politik bagi jangka waktu dua dekad ke belakang ini selain tidak terlibat di dalam sebarang skandal sepanjang karier sebagai seorang menteri dan ahli politik.

Media pada Sabtu melaporkan Pensyarah Kanan Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin telah mengutarakan idea supaya satu usaha damai di antara kerajaan dan pembangkang dilakukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!