Sarjan polis didenda RM3,000 terima rasuah

Tertuduh diiring keluar selepas mendengar hukuman yang dijatuhkan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Tertuduh diiring keluar selepas mendengar hukuman yang dijatuhkan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang anggota polis berpangkat sarjan didenda RM3,000 oleh mahkamah sesyen di sini pada Isnin setelah mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah RM1,500, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Fitry Ismail, 32, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 November 2020 kira-kira jam 11.34 malam di luar pintu utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.

Wang itu didakwa diterima untuk dirinya sendiri dengan tiada balasan dan tertuduh mengetahui bahawa pemberian tersebut, adalah sebagai satu dorongan berhubung dengan kerja-kerja rasminya.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.

Dalam penghakimannya, Rohatul Akmar berkata, mahkamah telah mempertimbangkan kepentingan awam dan tertuduh sendiri sebelum membuat keputusan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan agar denda itu dibayar serta-merta dan tertuduh diperintah untuk menjalani hukuman penjara selama enam bulan jika gagal berbuat demikian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!