PDRM lupus 6,289 barang kes di Klang

Mohd Khairi (kiri) menunjukkan barangan rampasan kes kontraban iaitu rokok seludup yang akan dilupuskan selepas majlis gimik pelupusan di Balai Polis Kapar, Klang, Selangor pada Isnin.
Mohd Khairi (kiri) menunjukkan barangan rampasan kes kontraban iaitu rokok seludup yang akan dilupuskan selepas majlis gimik pelupusan di Balai Polis Kapar, Klang, Selangor pada Isnin.
A
A
A

KAPAR - Sebanyak 6,289 barang kes berjumlah RM500,000 dilupuskan di Balai Polis Kapar, Klang, Selangor.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Khairi Shafie berkata, kesemua barangan kes yang dilupuskan itu adalah dari 2017 hingga awal 2023.

Beliau berkata, kelulusan pelupusan diterima daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi 177 kes yang telah diselesaikan sebelum ini.

"Pelupusan yang dilakukan hari ini melibatkan 788 barang kes perjudian membabitkan 164 kertas siasatan, selain 4,645 barang kes kontraban membabitkan lapan kertas siasatan.

"Sementara itu, sebanyak 856 barangan kes am iaitu barangan samun dan rompak melibatkan 72 kes siasatan dilupuskan," katanya yang ditemui selepas majlis pelupusan di Kapar pada Isnin.

Hadir sama Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Klang, Kushairi Rosli.

Majlis pelupusan barang kes melibatkan barangan kontraban, bitcoin, perjudian, barangan am serta berharga.

Pelupusan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Tambah Mohd Khairi, sebanyak 57 barangan membabitkan kes bitcoin melibatkan satu kertas siasatan, selain barangan kes berharga iaitu wang tunai sebanyak RM49,086.

Kata beliau, kesemua barangan pelupusan itu melibatkan tangkapan terhadap 250 individu.

Bagi program pelupusan selanjutnya, katanya, proses pelupusan dilakukan oleh syarikat Pandamaran Jaya Motor yang telah menerima pensijilan daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Jelasnya lagi, syarikat itu melakukan pelupusan bagi aset-aset kerajaan dan pelupusan sisa pepejal dan pembersihan awam 2007 (Akta 672).

"Bagi barang kes mesin mining bitcoin, pelupusan dibuat dengan cara menghancurkan mesin-mesin berkenaan secara manual.

"Bagi kes minuman keras, cecair akan diasingkan secara kimia dan dilupuskan secara pemeruapan, manakala bagi barang kes rokok, kesemua rokok akan dibakar di dalam kebuk pembakaran," katanya.

Habis..