[VIDEO] Hujan lebat tidak jejas pergerakan jemaah haji
MAKKAH - Amaran hujan lebat berterusan selama lima hari selain ribut petir di kebanyakan wilayah di sini sehingga Selasa tidak menjejaskan pergerakan jemaah haji Malaysia.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, situasi yang berlaku tidak ditakrifkan sebagai bencana dan hanya dianggap sebagai gangguan kecil kepada aktiviti jemaah haji.
"Tabung Haji (TH) ada prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan yang perlu dilakukan jika sesuatu malapetaka berlaku, setakat ini apa yang terjadi pada pagi Isnin hanya hujan yang sekejap.
"Selepas itu kita dapat lihat cuaca kembali seperti asal yang mana aktiviti jemaah seperti umrah dan pergerakan ke Masjidil Haram berjalan seperti yang dijadualkan mengikut perancangan asal," katanya pada sidang media di Abraz Janadriyah di sini pada Isnin.
Syed Saleh dalam pada itu berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat akan perubahan cuaca dan telah mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga keselamatan jemaah haji.
"Kita telah maklumkan situasi semasa kepada jemaah melalui kumpulan WhastApp jemaah dan aplikasi THhujjaj supaya mereka peka.
"Nasihat saya jika berlaku hujan dan ribut sebagainya, jemaah yang berada di bangunan penginapan perlu kekal pada kedudukan mereka, begitu juga yang berada di Masjidil Haram. Apabila keadaan reda bolehlah kembali sambung aktiviti," katanya.
Sebelum ini Direktorat Pertahanan Awam Arab Saudi yang menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat berterusan selama lima hari selain ribut petir disertai ketulan air batu dan banjir kilat.
Agensi Berita Arab Saudi (SPA) yang memetik kenyataan direktorat itu melaporkan Kota Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram akan turut terkesan berikutan fenomena itu.
Pada pagi Isnin juga ratusan ribu jemaah yang selesai menunaikan solat Subuh di ruangan tawaf Masjidil Haram dibasahi hujan selama 15 minit.
Seorang petugas haji, Ahmad Amin, 47, melahirkan rasa syukur dan seronok kerana kali terakhir hujan pada ingatannya adalah pada awal bulan Mei, namun hanya hujan renyai.
“Insya-ALLAH ini rahmah untuk tetamu ALLAH,” katanya yang lahir di Makkah dan keluarganya berasal dari Sumatera, Indonesia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!