KJ saman Jamal Yunos, tuntut RM1 juta

Khairy Jamaluddin, Jamal
Khairy Jamaluddin, Jamal
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung sidang media semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, Januari lalu.

Ia berhubung dakwaan bahawa parti itu mengimport perwakilan luar supaya tidak mengundi usul jawatan nombor satu dan dua, tidak dipertandingkan.

Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ selaku plaintif, mengemukakan saman itu Rabu lalu melalui firma guaman, Tetuan Aizat Izuan Shakeel dengan menamakan Jamal selaku defendan.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu menuntut ganti rugi khas sebanyak RM1 juta daripada Jamal.

Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Menteri Sains dan Teknologi memohon perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf di akaun media sosial Facebook ‘DS Jamal Yunos Official’, akaun TikTok ‘jamal_yunos’ dan akhbar utama bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Khairy juga meminta defendan memadamkan kenyataan tersebut di akaun media sosialnya serta-merta dari tarikh penghakiman.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khairy berkata, semasa PAU 2022 pada 14 Januari lalu, Jamal mengadakan sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dengan dihadiri pengamal media, perwakilan UMNO, ahli dan pemimpin parti itu.

Plaintif mendakwa Jamal memuat naik rakaman sidang video itu bertajuk ‘Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semberono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya’ di akaun media sosialnya pada 14 dan 15 Januari.

Menurutnya, nama Khairy Jamaluddin jelas dinyatakan melalui tajuk dan kandungan penerbitan tersebut.

Beliau mendakwa, kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud, beliau merupakan pemimpin yang tidak berintegriti, tiada kredibiliti untuk memimpin dan melakukan jenayah rasuah.

Katanya, ia turut membawa maksud beliau menerapkan pendekatan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi.

Selain itu beliau berkata, kata-kata defendan menunjukkan plaintif tidak layak menjadi pemimpin dan tidak setia kepada parti termasuk pemimpin lain.

Akibat kenyataan tersebut, Khairy mendakwa, ia mendedahkannya kepada gangguan, permusuhan dan penghinaan awam.

Plaintif juga berkata, kata-kata fitnah itu menyebabkannya mengalami kerugian, merosakkan karakter, kredibiliti dan reputasi.

Mahkamah Tinggi kemudiannya menetapkan pengurusan kes dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar, Nik Nur Amalina Mat Zaidan, pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!