PM sahkan Hamid Bador bakal KPN

Abdul Hamid Bador. (Gambar kecil:Mohamad Fuzi Harun) - Foto Bernama
Abdul Hamid Bador. (Gambar kecil:Mohamad Fuzi Harun) - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bakal dilantik menjadi Ketua Polis Negara yang baru.

Bercakap dalam sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Dr Mahathir merasakan Yang di-Pertuan Agong mungkin telah menandatangani surat pelantikan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung status Abdul Hamid yang dilantik memangku jawatan tersebut pada bulan lepas.

“Ya, saya fikir dia lah jadi Ketua Polis Negara. “(Adakah surat lantikan sudah diberi?) Saya fikir Yang di-Pertuan Agong sudah menandatanganinya,” katanya.

Begitupun, Dr Mahathir tidak berkongsi maklumat lanjut dan tidak memberitahu bilakah Abdul Hamid akan dilantik secara rasmi.

Abdul Hamid yang merupakan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dilantik memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara pada 15 Mac lepas.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur pada pertengahan Mac lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun membuat pengumuman itu pada majlis berkenaan berkata, Abdul Hamid akan memangku sebagai Timbalan Ketua Polis Negara sehingga satu keputusan rasmi dibuat oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hamid dilantik menggantikan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara dari pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selepas 35 tahun berbakti dalam pasukan itu.

Noor Rashid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Disember 2014 sebelum ini dan tugasnya disambung secara kontrak selama setahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!