Gesa siasat akaun Facebook palsu ADUN Seberang Takir
KUALA NERUS - Tiga laporan polis dibuat bagi menggesa siasatan dilakukan terhadap akaun Facebook palsu yang menggunakan butiran peribadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Laporan itu dibuat oleh Kelab Penyokong Cikgu Razif Terengganu (CRC), Pemuda UMNO DUN Seberang Takir dan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus di Balai Polis Gong Badak dekat sini kira-kira jam 3 petang pada Isnin.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus, Mohd Hafiz Aziz berkata, akaun berkenaan sengaja diadakan bagi tujuan niat jahat serta mengelirukan orang ramai.
"Laporan ini dibuat bagi membolehkan pihak polis dan agensi berkaitan menyiasat seterusnya mengambil tindakan ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang mencipta serta menyebarkan akaun palsu terbabit.
"Kita percaya, akaun Facebook ini sengaja diwujudkan bagi menjatuhkan reputasi Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai wakil rakyat," katanya ketika ditemui penberita pada Isnin.
Jelasnya, pihaknya juga akan mengemukakan laporan lanjut berhubung akaun Facebook palsu itu supaya tindakan dapat diambil Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) ke atas pihak terlibat.
Menurut Mohd Hafiz, akaun berkenaan sebelum ini telah membuat hantaran palsu dan dinafikan oleh Ahmad Razif.
Namun, terbaharu katanya, satu hantaran lagi dimuat naik di dalam grup Facebook berkenaan kenyataan meragukan yang kononnya ditulis oleh bekas Menteri Besar Terengganu itu pada Jumaat lalu.
"Setelah membuat semakan dengan akaun asal facebook (Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman), terbukti apa yang dikongsikan itu adalah akaun palsu yang telah di sunting bagi tujuan mengelirukan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!