KJ saman Jamal Yunos, tuntut RM1 juta
29 Mei 2023 | Berita Semasa Video
A
A
A
BERITA SEMASA 29 MEI 2023
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung sidang media semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, Januari lalu.
Ia berhubung dakwaan bahawa parti itu mengimport perwakilan luar supaya tidak mengundi usul jawatan nombor satu dan dua, tidak dipertandingkan.
Khairy selaku plaintif, mengemukakan saman itu Rabu lalu melalui firma guaman, Tetuan Aizat Izuan Shakeel dengan menamakan Jamal selaku defendan serta menuntut ganti rugi khas sebanyak RM1 juta.
Beliau memohon perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf di akaun media sosial Facebook ‘DS Jamal Yunos Official’, akaun TikTok ‘jamal_yunos’ dan akhbar utama bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.
Khairy juga meminta defendan memadamkan kenyataan tersebut di akaun media sosialnya serta-merta dari tarikh penghakiman.
Ia susulan plaintif mendakwa Jamal memuat naik rakaman sidang video bertajuk ‘Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semberono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya’ di akaun media sosialnya pada 14 dan 15 Januari.
Menurutnya, nama Khairy jelas dinyatakan melalui tajuk dan kandungan penerbitan tersebut.
Beliau mendakwa, kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud, beliau merupakan pemimpin yang tidak berintegriti, tiada kredibiliti untuk memimpin dan melakukan jenayah rasuah.
Muzik: Elevate dari www.bensound.com
#BeritaSemasa #SinarHarian