Pulihkan segera daya saing Malaysia - Noor Azlan
SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk segera merangka strategi bagi meningkatkan semula daya saing negara yang semakin menurun ketika ini.
Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, pengukuhan daya saing sangat penting kerana ia melibatkan kesejahteraan seluruh rakyat.
"Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) telah meletakkan Malaysia di tangga ke-32 pada tahun 2022, jauh (menurun) berbanding di tangga ke-10 pada tahun 2010 yang lalu.
"Forum Ekonomi Dunia (WEF) meletakkan Malaysia di tangga ke-27 dan Indeks Inovasi Global (GII) meletakkan Malaysia di tangga ke-36. Ia jelas sekali (menunjukkan) daya saing negara telah menurun berbanding beberapa tahun sebelum itu," katanya menerusi hantaran video di TikTok pada Isnin.
Jelas Noor Azlan, daya saing negara juga kini juga semakin ketinggalan berbanding negara ASEAN lain.
"Pada tahun 2000, sekitar 23 peratus daripada eksport Asean datang daripada Malaysia tetapi kini hanya tinggal sekitar 18 peratus.
"Selain itu, dalam konteks kemasukan pelaburan asing, di tahun 2000, kita mendapat hampir 17 peratus daripada pelaburan yang datang ke negara Asean, namun kini hanya tinggal tujuh peratus," katanya
Ujarnya, Vietnam yang sedang rancak membangun ketika ini juga menunjukkan daya saing yang lebih tinggi berbanding Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!