'Pulau Pinang itu Kedah punya' - Sanusi
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terus menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut.
Jelasnya, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.
"Saya tunggu dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) kalau ada asas ditentu sahkan sempadan Kedah dengan negeri-negeri lain, yang saya tahu Pulau Pinang itu Kedah punya.
"Jadi tak dak la sempadan Kedah-Pulau Pinang itu, sempadan negeri kita dok sebelah pulau sana (Balik Pulau), dengan Perak mungkin ada. (sempadan Kedah-Pulau Pinang) nak ukur kat mana, nak pakai warta nombor berapa," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim Antara Kedah Perlis di Wisma Darul Aman, dekat sini.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Muhammad Sanusi dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang disaksikan Ketua Pengarah JUPEM, Mohammad Zaki Mohd Ghazali dan Setiausaha Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Muhammad Yasir Yahya.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali dan Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Zepri Saad.
Dalam pada Muhammad Sanusi mendakwa, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah 'terlepas' dari Kedah.
"Bukan nak ambil balik, bukan terlepas apa pun, memang hak kita," ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, perjanjian persempadanan darat dan maritim antara Kedah dan Perlis adalah melibatkan 44.3 kilometer (km) bagi darat manakala 5.6km bagi maritim (laut) yang bersamaan tiga batu nautika.
Menurutnya, perjanjian yang dimeterai itu telah melakar sejarah baharu antara kedua-dua negeri yang dapat memuktamadkan garis sempadan darat dan laut secara serentak serta sektor yang pertama di Malaysia.
“Menjadi satu lembaran baharu kepada Malaysia serta Kedah dan Perlis dalam menjalinkan kerjasama yang lebih produktif pada masa akan datang.
"Perjanjian persempadanan ini dapat merancakkan lagi kerjasama sedia ada seperti ekonomi dan penguatkuasaan antara kedua-dua negeri selain menjana bidang kerjasama baharu berimpak tinggi yang akan memanfaatkan rakyat di kedua-dua negeri," jelasnya.
Mohd Shukri pula berkata, beberapa isu yang dihadapi kerajaan negeri terutama berkenaan hak milik tanah dapat diselesaikan melalui perjanjian tersebut.
"Saya rasa bersyukur kerana banyak masalah di sempadan Perlis dan Kedah dapat diselesaikan khususnya isu tanah yang menjadi perkara sensitif oleh rakyat, isu tanah perkuburan di Kobah dan isu Sempadan di Kuala Sanglang,”katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!