Siasatan Forum Statut Rom prosedur biasa polis
KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata siasatan polis terhadap forum Statut Rome cuma prosedur biasa pihak berkuasa itu.
Perdana Menteri berkata ia tidak bermaksud bahawa pihak polis akan mendakwa mereka yang disiasat.
“Ini bagi melindungi kita, sekiranya ada orang yang mencetuskan masalah mereka kena tahu, tidak bermakna menerusi siasatan itu mereka akan mendakwa orang tertentu tetapi mereka kena tahu sama ada terdapat cubaan mencetuskan masalah, tidak bermaksud ini akan diikuti dengan pendakwaan,” katanya ketika ditanya mengenai isu itu hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Belia Al-Sharq 2019 di sini.
Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihak polis akan menyoal beberapa individu yang terlibat dalam forum itu bagi merakamkan percakapan mereka.
Forum yang diadakan pada Sabtu lepas di Universiti Malaysia turut menampilkan Peguam Negara Tommy Thomas.
Mohamad Fuzi dilaporkan sebagai berkata bahawa siasatan adalah di bawah Akta Hasutan ekoran beberapa laporan polis dibuat terhadap forum itu.
Ditanya sama ada siasatan itu dalam hal tertentu menyekat kebebasan bersuara, Dr Mahathir berkata Malaysia menjamin kebebesan bersuara namun ia bukannya tanpa had.
“Sekiranya anda melakukan sesuatu perkara yang mendatangkan kesusahan kepada orang lain, anda menghina orang lain, jadi sudah barang tentu ia tidak termasuk dalam kebebasan bersuara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!