Young Tigers tutup kempen kumpulan tanpa kalah

Antara aksi Kumpulan B Piala Remaja Asia 2023, Malaysia menentang Oman di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman. - Foto Asian Hockey Federation
Antara aksi Kumpulan B Piala Remaja Asia 2023, Malaysia menentang Oman di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman. - Foto Asian Hockey Federation
A
A
A

SKUAD hoki remaja negara melabuh kempen Kumpulan B Piala Remaja Asia 2023 dengan mengekalkan rekod tanpa kalah pada Selasa.

Dalam perlawanan terakhir The Young Tigers kendalian Muhamad Amin Rahim menewaskan pasukan tuan rumah, Oman 1-0 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman.

Shahmie Irfan Suhaimi muncul wira The Young Tigers apabila menyempurnakan pukul sudut penalti pada minit ke-48 untuk mata ke- 12 pasukan negara.

Terdahulu anak buah Muhamad Amin memulakan kempen pada Piala Remaja Asia 2023 dengan langkah kanan dengan menewaskan Uzbekistan 8–1, Bangladesh (5-1) dan Korea Selatan (3–1).

Kemenangan itu juga membolehkan skuad negara muncul juara Kumpulan B dengan 12 mata, diikuti Korea Selatan (9 mata), Bangladesh (6 mata), Oman (3 mata) dan Uzbekistan (0 mata).

Pada aksi separuh akhir pada Rabu, Malaysia akan berdepan naib juara Kumpulan A, Pakistan manakala Korea Selatan berdepan juara Kumpulan B, India untuk perebutan pentas perlawanan akhir.

Sementara itu, Muhamad Amin mengakui tidak berpuas hati dengan persembahan para pemain The Young Tigers biarpun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah peringkat kumpulan.

Sebaliknya Muhamad Amin menuntut pemain-pemain mudanya mengembalikan semula aura pasukan seperti dalam tiga perlawanan sebelum ini.

“Kami mencapai objektif untuk menutup perlawanan dengan kemenangan ke atas Oman, namun secara keseluruhan saya kurang berpuas hati terutamanya apabila deretan peluang menjaringkan gol padang dan gol pukulan sudut penalti gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

“Para pemain juga agak sambil lewa dan pasukan akan menghadapi masalah pada separuh akhir nanti jika pemain tidak mengubah sikap ini.

“Saya amat berharap ini adalah merupakan satu perlawanan terburuk Young Tigers dalam kejohanan ini, dan pemain akan bangkit seperti dalam tiga perlawanan awal apabila berdepan Pakistan di separuh akhir.

“Pemain perlu kembali konsisten seperti ketika berdepan Uzbekistan, Bangladesh dan Korea Selatan, dengan tidak terbawa-bawa persembahan menentang Oman apabila melayan Pakistan," katanya.

Piala Remaja Asia 2023

Separuh Akhir

KHAMIS (1 JUN)

Malaysia lwn Pakistan

(Kompleks Belia Sultan Qaboos, 1 pagi)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!