Malukan pelaku mungkin lebih berkesan
KOMPLEKS Pemeriksaan Kastam dan Imigresen (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar ( BSI) Tambak Johor yang menjadi pintu masuk utama antara Malaysia dan Singapura tidak pernah sunyi dengan lautan manusia.
Seawal jam 4 pagi, dianggarkan ratusan ribu rakyat Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura menyeberang Tambak Johor menjadi antara jambatan penghubung tersibuk di dunia.
Begitu juga, warga Singapura turut menggunakan CIQ, BSI sebagai laluan darat untuk ke negara ini selain laluan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.
Bagaimanapun, sejak sebulan lalu beberapa insiden memalukan, membabitkan individu berkelakuan jelik membuang air kecil di kawasan tidak sepatutnya di CIQ, BSI.
Video tular tersebut mengundang kecaman ramai pihak yang menyifatkan tindakan itu biadab kerana memberi kesan kepada kebersihan di BSI yang merupakan laluan utama keluar masuk Malaysia-Singapura.
Polis Johor bertindak tegas dengan menahan lelaki warganegara asing berusia 69 tahun yang bertindak biadab dengan membuang air kecil di tempat wuduk di BSI yang kejadiannya tular di media sosial.
Lelaki berkenaan seterusnya direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sebelum itu, tular video memaparkan seorang wanita membuang air kecil di belakang sebuah kaunter di bangunan berkenaan, namun apabila ditegur, wanita tersebut bergegas meninggalkan kawasan tersebut.
Lebih mengejutkan lagi, kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku membabitkan warga asing membuang air kecil merata-rata di sekitar pintu masuk dan keluar Malaysia dan Singapura.
Pada 13 Jun tahun lalu, tular dua lelaki sedang membuang air kecil di bawah pokok di lokasi berhampiran Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Kejadian itu membuka mata banyak pihak berhubung kesedaran masyarakat terhadap kebersihan di tempat awam terutama di BSI.
Lantas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa orang ramai yang menggunakan CIQ,BSI agar lebih bertanggungjawab dan tidak melakukan perbuatan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.
Begitu juga dengan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, menyatakan papan tanda lebih jelas akan dipasang pada lokasi strategik bagi menunjukkan tanda arah ke tandas awam sekitar CIQ BSI.
Jelasnya, perbincangan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dilakukan berhubung inisiatif itu yang diharap dapat mengelakkan kejadian sama berulang.
Pun begitu, tiada gunanya, jika kerajaan bersungguh-sungguh melakukan pembaharuan tetapi keadaan kebersihan di BSI tidak seperti diharapkan dengan kesedaran masyarakat terhadap kebersihan masih rendah.
Tanggungjawab menjaga kebersihan di BSI bukan terletak bahu pihak berkuasa sahaja, tetapi orang ramai yang menggunakan bangunan itu perlu mengekalkan kebersihan, selain menerapkan sifat jijik terhadap kekotoran.
Penulis teringat laporan berita di India pada tahun 2019, seorang pemandu tuk-tuk, kenderaan roda tiga di negara itu dan penumpangnya dimalukan dengan dihukum melakukan ketuk ketampi oleh petugas majlis perbandaran selepas ditangkap membuang air kecil di tempat terbuka di bahu jalan Indore, Madhya Pradesh.
Mereka turut dikenakan denda 250 Rupee (kira-kira RM15) kerana kencing merata-rata adalah satu kesalahan di Indore.
Dan pada 2015, seramai 109 individu ditangkap di Agra, Uttar Pradesh kerana kencing di tempat awam.
Apa yang dilaksanakan itu adalah sebagai menyahut kempen yang dilancarkan Perdana Menteri, Narendra Modi iaitu Swachh Bharat (India Bersih) pada 2014 untuk mempromosi kempen kebersihan.
Mungkin kerajaan negeri boleh mengambil tindakan drastik serupa sekiranya berlaku kejadian serupa selepas ini.
Bukan apa, jika segala amaran dan tindakan telah diambil tetapi kejadian itu tetap berlaku, nescaya hukuman itu akan menakutkan pelaku kerana mereka lebih takut malu berbanding dikenakan hukuman berkelakuan tidak senonoh di tempat awam mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.
* Nor Azura Md Amin ialah wartawan Sinar Harian Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!