'Jangan perlekeh Naga Emas'
Katanya, beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, Vietnam dibimbing Park Hang-Seo pasti tampil dengan corak serangan lebih agresif berbanding ketika terikat 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.
Jelas beliau, barisan pertahanan negara bakal mengharungi saat sukar sepanjang 90 minit perlawanan sekiranya tidak berhati-hati dalam membaca serta mengekang asakan Naga Emas’ itu.
“Malaysia perlu dapatkan gol awal dan paksa pertahanan lawan meninggalkan kawasan mereka. Pada final pertama, pertahanan mereka kekal di posisi dan hanya mengharapkan hantaran jauh untuk memerangkap pertahanan kita dengan serangan balas pantas mereka.
“Main di Hanoi kemungkinan mereka akan cuba dapatkan gol awal untuk menguasai permainan...dengan kepantasan pemain Vietnam, mereka memiliki kemampuan untuk lakukan serangan lebih agresif. Jadi kita kena berhati-hati dan mesti ambil peluang jaringkan gol bila mereka bagi kita ruang,” katanya.
Pada aksi final pertama yang disaksikan lebih 88,000 penyokong di stadium, Malaysia bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk mencatat keputusan seri 2-2 hasil jaringan Shahrul Mohd Saad diikuti sepakan percuma Muhammad Safawi Rasid.
Sebelum itu, skuad kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe yang mara ke pentas final dengan kelebihan jaringan di tempat lawan, turut bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat Thailand 2-2 pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok.
Sathianathan yang menyaksikan kedua-dua perlawanan tersebut percaya sekiranya semangat juang dan rentak sama dapat dijelmakan dalam perlawanan esok, skuad kebangsaan mampu meraih keputusan positif.
“Mereka telah tunjukkan semangat luar biasa...’comeback’ selepas ketinggalan 0-2 itu menunjukkan pemain mempunyai mentaliti perjuangan dan semangat yang sangat tinggi.
“Mereka perlu bermain seperti di Bangkok dan gol itu akan hadir. Saya harap perkara sama dapat berlaku di Vietnam,” jelasnya.
Malaysia perlu menang pertembungan esok untuk menjulang trofi kejuaraan buat kali kedua selepas edisi 2010 dan sekiranya seri, Malaysia sekurang-kurangnya perlu mengikat Vietnam dengan keputusan 3-3 untuk sah digelar juara edisi 2018. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!