Tinggal 5 hari lagi peluang mencari Hawari

Muhammad Hawari hilang sejak Jumaat lalu.
Muhammad Hawari hilang sejak Jumaat lalu.
A
A
A

20 Mei lalu media banyak melaporkan berkaitan kehilangan seorang pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim.

Kehilangannya dilaporkan selepas dia telah berjaya menawan puncak tertinggi tersebut pada 18 Mei semasa dalam perjalanan turun dari Kem Empat.

Susulan itu, satu misi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan bagi mencari Hawari.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian kerajaan dengan menghulurkan sumbangan sebanyak RM1.46 juta bagi digunakan dalam misi mencari dan menyelamat Hawari.

Namun begitu, pihak berkuasa Nepal telah mengumumkan dan mengeluarkan notis penutupan sepenuhnya aktiviti mendaki ke puncak Everest bermula 28 Mei dan menyebabkan misi SAR tidak dapat diteruskan.

Bagaimanapun, Ketua Misi Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga Presiden Kelab Eksplorasi Altitude Malaysia, Azim Afif Ishak berkata, dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Nepal, misi SAR tersebut mendapat lanjutan selama lima hari.

Menurutnya, misi SAR kali ini akan menggunakan teknologi canggih iaitu dua dron berteknologi tinggi yang akan dikawal oleh seorang pendaki, Tiong Ling Yang, 30; Pengurus Pasukan ME2023, Ayu Wanirah Naharuddin, 30, dan seorang malim gunung yang berpusat di Kem Dua kawasan pergunungan itu.

Azim berkata, antaranya adalah dron yang boleh melakukan pengesanan sehingga melebihi aras 8,000 meter dari aras laut dan kawasan berbahaya yang tidak boleh dimasuki anggota penyelamat dan malim gunung.

Jelasnya, sekiranya inisiatif dron itu berjaya mengesan objek, sut pakaian atau kelengkapan lain yang digunakan Hawari, malim gunung akan ditugaskan ke kawasan itu bagi membuat pengecaman.

"Inisiatif ini dapat menjimatkan kos dan lebih efektif. Pada masa sama kami juga sudah melantik 10 malim gunung yang sentiasa bersiap sedia untuk melakukan tugasan sekiranya diperlukan,” ujarnya.

Melalui teknologi tersebut, ia sekaligus dapat mengurangkan atau mengelakkan ahli misi SAR yang terlibat menghadapi sebarang perkara yang tidak diingini.

Diharapkan dengan teknologi dan penambahan masa yang telah diberikan itu dapat memberi cahaya ataupun kejayaan kepada pasukan tersebut menjumpai Hawari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!