Pesara kerajaan mengaku tidak bersalah perdaya wanita
ALOR SETAR - Seorang pesara kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas kesalahan memperdaya seorang wanita berkaitan hartanah sebanyak RM15,000 tujuh tahun lalu.
Tertuduh Mohd Fadhilah Hanafi,70 membuat pengakuan berkenaan ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dipercayai melakukan kesalahan terbabit pada 27 Jun 2016 di Public Bank Berhad cawangan Pulau Langkawi dengan menipu seorang wanita yang kini berusia 67 tahun bahawa tertuduh adalah pemilik hartanah yang beralamat di Lot 934 Kampung Sungai Menghulu, Langkawi sedangkan tanah itu adalah hak milik kerajaan.
Tindakan tertuduh telah mendorong mangsa untuk memindahkan wang berjumlah RM15,000 melalui dua keping cek tunai Public Islamic Bank kepada anak tertuduh.
Oleh itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat serta denda.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili peguam, Chui Jing Hong.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan mendekati serta mengganggu saksi pendakwaan.
Mohd Fadhilah yang pernah bertugas di salah sebuah pejabat daerah dan tanah dalam negeri ini juga diarahkan untuk melapor diri di Pejabat SPRM pada setiap awal bulan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 4 Julai depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!