Bersatu dibenar mulakan semakan kehakiman cabar pembekuan akaun

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibenarkan untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membekukan akaun bank parti itu.

Keputusan sama turut diberikan berhubung larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian selepas mendapati permohonan parti itu untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman bukan satu permohonan yang remeh dan menyusahkan.

"Isu yang terdapat dalam permohonan berkenaan boleh didengar melalui semakan kehakiman," katanya.

Pada 8 Mac lalu, Bersatu telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPRM membekukan akaun banknya bagi tujuan siasatan.

Permohonan itu difailkan peguam, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi pihak parti itu selaku pemohon, menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Co dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan 19 individu lain selaku responden pertama hingga ke-20.

Pemohon mendakwa keputusan membekukan akaun bank itu dilakukan dengan niat jahat dan menyatakan suruhanjaya itu telah menyalahgunakan kuasa mereka dengan menjalankan pendakwaan politik terpilih terhadap kepimpinan Bersatu, PN atau Muhyiddin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!