Jurugambar ditahan amang seksual terhadap murid 9 tahun
SEPANG - Seorang jurugambar ditahan untuk siasatan kes amang seksual terhadap murid lelaki berusia sembilan tahun dalam kejadian di Bandar Baru Salak Tinggi, dekat sini pada 12 Mei lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Md Noor Aehwan Mohammad berkata, dalam kejadian jam 4.15 petang itu, mangsa mengadu kepada ayahnya semasa pulang dari sekolah dia telah dicabul seorang lelaki ketika mengambil gambar semasa acara 'petting zoo' di bilik Sains sebuah sekolah, di sini.
Beliau berkata, semasa acara 'petting zoo' sempena Bulan Panitia Sains itu, suspek merupakan salah seorang jurugambar luar yang dipanggil pihak sekolah untuk mengambil gambar sempena penganjuran acara tersebut.
Menurutnya, suspek dipercayai telah melakukan amang seksual sebanyak tiga kali pada hari kejadian.
Ekoran kejadian itu, katanya, satu perjumpaan telah dibuat membabitkan pihak pengadu dan pihak sekolah di bilik mesyuarat pada 15 Mei lalu jam 2.30 petang,
"Pada 23 Mei, perjumpaan kedua telah diadakan antara pihak sekolah, penjaga dan dua orang jurugambar yang bertugas pada hari kejadian.
"Di akhir perbincangan, salah seorang jurugambar mengaku melakukan perbuatan tersebut.
"Pihak sekolah mengambil keputusan untuk tidak lagi membenarkan kedua-dua jurugambar tersebut untuk memasuki kawasan sekolah untuk program lain selepas ini, namun ayah mangsa tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh pihak sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Md Noor Aehwan berkata, pada 26 Mei, jam 1.30 petang, Inspektor Muhamad Syawal bersama pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang membuat tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 39 tahun di pekarangan IPD tersebut.
Katanya, siasatan awal ke atas lelaki yang beralamat Sentul Pasar Ampang, Selangor itu tidak mengaku memegang kemaluan kanak-kanak tersebut.
Menurutnya, suspek direman sehingga 1 Jun dan kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!