Pengaruh alkohol, dadah punca isteri jadi 'beg penumbuk' suami

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KLANG - Pengaruh alkohol dan tidak dapat wang untuk membeli dadah antara punca utama berlakunya keganasan rumah tangga terhadap isteri dan anak-anak di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, berdasarkan rekod menunjukkan sebanyak 16 kertas siasatan telah dibuka sepanjang Januari hingga April lalu berbanding 12 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Mangsa turut dilaporkan mengalami cedera parah selain menerima ugutan jenayah daripada pelaku. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323, 324 dan 506 Kanun Keseksaan.

"Malah episod ngeri dilalui mangsa juga dikatakan adalah kes yang berulang-ulang sebelum mereka membuat laporan polis kerana tidak tahan menjadi 'beg penumbuk' amarah si suami," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini pada Selasa.

Hoong Fong berkata, berdasarkan siasatan juga mendapati faktor utama adalah disebabkan pengaruh alkohol sehingga hilang pertimbangan dengan mencederakan ahli keluarga mereka.

"Ada juga kes apabila suspek tidak mendapat wang untuk membeli dadah yang akhirnya membuatkan mereka melepaskan kemarahan kepada isteri dan anak," katanya.

Beliau berkata, terdapat kes keganasan rumah tangga telah berlarutan beberapa bulan dengan kes terbaharu pada Ahad melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun yang menjadi 'mangsa dibelasah' bapa kandung.

"Kes tersebut berlaku di sekitar Pandamaran dengan ibu mangsa merakam kejadian terbaharu dilakukan bekas suaminya.

"Kita juga berharap masyarakat terutama jiran menjadi mata dan telinga kepada pihak polis, selain memupuk sikap ambil peduli serta melaporkan sebarang perkara mencurigakan melibatkan keganasan rumah tangga," katanya.

Hoong Fong menegaskan, mangsa keganasan rumah tangga dilindungi dibawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1984 yang terpakai kepada wanita, ahli keluarga dalam kalangan lelaki, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

"Akta ini memperuntukkan tindakan perlindungan terhadap mangsa melalui perintah perlindungan sementara (IPO) dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Justeru, sebarang penyaluran maklumat keganasan rumah tangga boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau talian kasih 15999 dan aplikasi WhatApps 019-2615999 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!